Landskap Politik Kian Berubah, Perlu Penelitian Mendalam Dalam Usaha Meraih Sokongan Rakyat – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan melihat landskap politik Malaysia hari ini sudah berubah dan parti-parti politik masing-masing berada di padang yang lebih rata berbanding pada satu ketika dahulu.

Bagi beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Sabah, pihak yang berjaya menguasai media baharu terutamanya akan lebih terbuka mendapat kelebihan perhatian dan sokongan daripada rakyat pelbagai peringkat.

“Status sebagai kerajaan sudah tidak boleh lagi menjamin kemenangan mudah dan sudah tidak berkesan menjadi perisai atau kekebalan kepada kekalahan. Parti-parti politik kini berada di padang yang lebih rata berbanding dahulu.

“Siapa yang menguasai media baharu akan mendapat kelebihan. Siapa yang mempunyai dasar yang lebih baik akan mendapat sokongan. Kini kuasa menentukan hala tuju politik negara sudah berpindah daripada tangan golongan elit politik kepada tangan rakyat biasa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Beliau seterusnya berkongsi pandangan realiti politik baharu hari ini perlu diteliti dan dihayati sepenuhnya dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk melangkah ke depan.

“Parti politik yang masih ditakuk lama, akan dihukum oleh rakyat. Itulah realiti baharu yang perlu dihadam oleh semua orang politik,” ujarnya.

Meneruskan perkongsian di Facebooknya, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran menambah mengkritik sememangnya satu kerja yang mudah namun ianya bukanlah jalan penyelesaian kepada semua perkara.

“Saya tidak mahu UMNO Sabah hanya tahu mengkritik. UMNO Sabah juga perlu tahu bagaimana mahu memberi cadangan penyelesaian. Itu barulah politik matang. Mengkritik adalah perkara yang paling senang dibuat namun memberi cadangan penyelesaian kepada masalah-masalah yang didepani oleh rakyat Sabah itu jauh lebih sukar.

“Oleh itu, UMNO Sabah akan terus memberikan cadangan yang konkrit dan munasabah supaya kesejahteraan rakyat terbela,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.