Ketirisan Harga Minyak Masak Paket… Johari Cadang Kerajaan Beri ‘Cash Transfer’ Kepada Golongan Sasaran

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan agar kerajaan memberikan ‘cash tansfer’ kepada golongan sasaran bagi mengelakkan ketirisan harga minyak masak paket.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan soal pengagihan minyak masak paket pada ketika ini namun beranggapan lebih baik sekiranya kerajaan memberi tumpuan kepada isi rumah.

“Saya bersetuju soal pengagihan minyak masak ini. Tetapi yang merunsingkan saya ialah apabila melihat kerajaan mengeluarkan 60 juta paket tiap-tiap bulan. Itu bermakna kita mengeluarkan 720 juta paket setahun.

“Kalaulah tujuan kita bagi subsidi minyak ini untuk menstabilkan keadaan minyak masak, sudah tentu target kita ialah kepada isi rumah. Seperti yang kita tahu bahawa isi rumah B40 ini dianggarkan 3.2 juta,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, subsidi bersasar tidak berlaku kerana tiada pengawalan dari segi harga untuk bekalan barangan asas ini.

“Saya ingin bertanya bahawa kalaulah proses yang kita buat ini tidak dapat mengelakkan ketirisan… contohnya dahulu, kita beri subsidi ini kerana harga minyak sawit meningkat maka kita nak berikan kepada golongan B40, supaya mereka tidak perlu membeli dengan harga yang tinggi.

“Tetapi, disebabkan ada ketirisan… ketirisan ini dahulunya melalui eksport, kemudian kita tahan dan akhirnya dapat mengatasi soal eksport. Kemudian kita jumpa pula ada pemborong beli minyak paket dan jual kepada syarikat-syarikat mikro ini dengan harga tinggi.

“Maka, ‘targeted’ subsidi tidak berlaku. Akhir-akhir ini ada orang beli minyak paket untuk dibuat ‘bio-diesel’ kerana kalau dia beli minyak yang telah dikitar semula, lebih tinggi harganya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, sekiranya ‘cash transfer’ ini dikuat kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh menjimatkan kos.

“Jadi, persoalan saya adakah kerajaan ingin meneruskan cara sama? Saya berpandangan sudah tiba masanya kalau kita melihat bagaimana minyak masak ini, kita boleh buat ‘cash transfer’.

“Kalau setiap rumah B40 ini mereka pakai lebih kurang anggaran lima kilogram (kg) sebulan. Kalau lima kg sebulan dan kita memang nak bagi harga RM2.50, the different between the market price itu kita bagi ‘cash transfer’.

“Jadi, KPDN pun tidak perlu buat ‘enforcement’ dan market jual semua harga sama. Ini juga boleh menyebabkan kerajaan save subsidi ini kalau harga meningkat. Saya cadangkan, adakah kerajaan ingin meneruskan cara sama,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh menjawab soalan yang dibangkitkan dan memaklumkan bahawa penyasaran subsidi akan bermula pada tahun hadapan bagi mengelakkan sebarang ketirisan berlaku.

“Kita akan bermula dengan penyasaran subsidi bermula dengan tahun hadapan dengan diesel dan sebagainya untuk mengelakkan ketirisan. Tentu sekali minyak masak dalam paket ini di dalam senarai penyasaran subsidi tersebut.

“Kita tidak akan teruskan perkara yang sama dan memang kerajaan pada hari ini amat gusar dengan apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Titiwangsa tadi. Jadi, sebagai apa yang disarankan kita lihat bahawa yang wajar menerima subsidi ini golongan B40 dan sebahagian daripada M40.

“Kita anggarkan dalam 5.8 juta isi rumah yang akan layak menerima subsidi ini nanti apabila kita sasarkannya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.