Parlimen: Atasi Isu Kekurangan Guru, Kuala Pilah Cadang KPM Wujud Gred DG56

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan mencadangkan agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan Gred DG56 bagi mengatasi isu kekurangan guru.

Ini kerana katanya, bidang pendidikan sedang mengalami kekurangan lebih daripada 20,000 guru di seluruh negara.

“Isu kekurangan guru bukanlah isu asing dalam dunia pendidikan di Malaysia. Sebelum ini Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mendedahkan bidang pendidikan sedang mengalami kekurangan lebih daripada 20,000 guru di seluruh negara.

“Kuala Pilah memuji tindakan proaktif KPM membuat pengambilan guru secara ‘one-off’ seramai 9,500 orang guru baru-baru ini. Meskipun masih tidak memenuhi kekosongan yang ada secara keseluruhan, langkah ini dilihat sebagai solusi yang tepat bagi menangani isu kekurangan guru buat masa ini dan sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada seluruh warga pendidik.

“Kuala Pilah minta Kementerian menyatakan statistik terkini jumlah keseluruhan guru di Malaysia bagi pendidikan rendah dan menengah serta berapakah bilangan guru yang menyandang gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA)?” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Di samping itu, beliau turut meminta KPM untuk mengkaji semula kadar elaun yang diberikan kepada guru-guru kerana dilihat tidak bersesuaian dengan beban tugas digalas.

“Kita mungkin tidak boleh menaikkan gaji atau upah dalam masa terdekat. Namun demikian, mungkin ada faktor penarik yang boleh kita tawarkan kepada guru-guru. Gred jawatan JUSA C selalunya diisi berdasarkan kekosongan.

“Oleh kerana itu, jawatan Gred JUSA C ini amat terhad. Oleh demikian, secara alternatif, Kuala Pilah mencadangkan agar Gred DG56 diwujudkan dalam perkhidmatan perguruan. Ini sudah pasti menjadikan profesion perguruan lebih menarik dan memberi ruang kenaikan pangkat lebih meluas kepada guru-guru yang layak.

“Di bawah butiran ini, Kuala Pilah memohon agar KPM mengkaji semula kadar-kadar elaun yang diberikan kepada guru-guru, guru besar dan pengetua. Sebagai contoh, elaun Guru Penolong Kanan sekolah rendah adalah sebanyak RM60 sahaja dan kadar ini tidak bersesuaian dengan beban tugas yang digalas sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut beranggapan bahawa isu bangunan sekolah yang tidak selamat diduduki wajar diberikan perhatian menyeluruh.

“Isu bangunan sekolah yang tidak selamat diduduki adalah isu serius dan wajar diberikan perhatian mendesak memandangkan ia melibatkan risiko terhadap nyawa serta keselamatan pelajar.

“Kuala Pilah telah beberapa kali membawa isu keselamatan pelajar di SMK Senaling akibat terdapatnya aliran air di bawah tanah salah satu bangunan yang membahayakan nyawa pelajar dan guru di sini,” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan lanjut yang bakal diambil oleh KPM bagi memastikan keselamatan warga sekolah terjamin.

“Ini kerana ianya mengakibatkan risiko mendapan tanah dan meningkatkan kebarangkalian bangunan sekolah runtuh. Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah mengesahkan bahawa bangunan ini tidak selamat untuk diduduki.

“Justeru, apakah tindakan lanjut yang akan diambil oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan kakitangan sekolah terjamin?” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.