PRK: Pas Perlu Cermin Diri, Samsuri Bukan Orang Kemaman

KEMAMAN, 26 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad membidas pemimpin Pas yang berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) sebagai ketandusan pemimpin apabila mencalonkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

Menurut beliau, setidaknya BN meletakkan Raja Mohamed Affandi kerana tokoh itu adalah anak jati Kemaman, berbeza dengan calon Pas iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berasal dari Besut.

“Kalau kita melihat umpamanya Pas meletakkan orang Pahang di Kelantan seperti Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding di Kubang Kerian dan banyak contoh lain yang saya boleh bagi.

“Sedangkan Raja Mohamed Affandi ini orang yang sangat familiar di Kemaman dan kerap berada di sini, penduduk setempat juga sangat mengenali beliau kerana membesar di Kemaman.

“Kalau dikira Datuk Seri Najib Tun Razak juga dilahirkan di Lipis, umur dua tahun dibesarkan di Pekan dan menjadi Ahli Parlimen Pekan seterusnya sebagai Perdana Menteri. Tidak bezapun dengan Raja Mohamed Affandi, maksudnya dia sangat biasa di Kemaman.

“Maka kalau dikatakan bukan tempatan tanya diri mereka (pembangkang) dahulu. Mereka juga kebanyakkan bukan dari tempatan, calon mereka yang bertanding juga bukan orang tempatan kenapa persoalkan calon kita?” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online melakukan ziarah kasih di Taman Fikri, Chukai bersama jentera Wanita UMNO/BN Pahang dan tempatan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Lipis berkata pencalonan Dr Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu juga suatu yang menghairankan bagi beliau.

Menurut beliau, jawatan sebagai Menteri Besar menuntut komitmen cukup tinggi dan suatu yang mustahil untuk dilakukan kerana ahli Parlimen perlu hadir ke Dewan Rakyat bagi suatu tempoh yang lama.

“DUN Ru Rendang agak jauh dari sini dan sudah pastinya beliau hendak melaksanakan tugas sebagai ahli Parlimen agak sukar dan sudah tentu tumpuan tidak dapat diberikan oleh seorang Menteri Besar kerana tanggungjawab beliau agak banyak.

“Kalau kita mengambil kira Terengganu agak jauh dari Kuala Lumpur kalau apa-apa berlaku sewaktu persidangan Parlimen sudah pasti beliau tidak dapat menumpukan sepenuhnya di Parlimen.

“Kebiasaan Parlimen ini akan bersidang lebih daripada dua bulan jika dibandingkan Menteri Besar Selangor beliau dekat sahaja dan boleh berulang alik daripada pejabat Menteri Besar Selangor ke Parlimen tetapi sukar bagi Menteri Besar yang berada di Terengganu.

“Jadi nak bawa suara rakyat sukar, patutnya tumpu kerja sahaja sebagai Menteri Besar yang begitu banyak sekali,” tegas beliau.

Untuk rekod PRK Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

BN mempertaruhkan Raja Mohamed Affandi, beliau berdepan cabaran dua penjuru dengan calon Pas Dr Ahmad Samsuri.

Raja Mohamed Affandi, 66 tahun berkhidmat selama 43 tahun dalam ATM dan berkelulusan Ijazah Sarjana Pengajian Pertahanan daripada University of New South Wales, Australia dan Ijazah Sarjana Sains dalam Pertahanan dan Pengajian Strategik daripada Universiti Quaid-i-Azam University, Pakistan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.