Projek LCS: Tidak Timbul Sebarang Masalah, Kelewatan Akan Dapat Diatasi – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi jaminan bahawa tiada sebarang masalah timbul dalam menyiapkan Kapal Tempur Persisir (LCS) dan sebarang kelewatan akan dapat diatasi sebaiknya.

Jelasnya, projek LCS sebelum ini mengalami kelewatan dan terhenti seketika kerana perlu dilakukan kajian semula dan juga pandemik COVID-19.

“LCS ini sebenarnya tiada masalah namun disebabkan projek ini terhenti beberapa lama disebabkan kajian semula dan COVID-19 selama dua tahun. Aset dah ada. Mengapa kita nak buat lima dan bukannya enam?

“Ini adalah disebabkan kita telah membeli lima set enjin, generator, gear box dan lain-lain. Semua dah ada. Jadi, kita perlu teruskan. Berkenaan untuk pertambahan RM2 bilion, pertambahan tersebut bukannya melibatkan kos ‘over-run’.

“Ianya adalah pertambahan untuk kita membeli aset kompeten. Pihak Tentera Laut telah pun mengenal pasti barangan. Itu sahaja dalam laporan PAC sudah menjangkau RM1 bilion. Ini termasuk bayaran faedah, insurans dan juga pengurusan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, pertambahan RM2 bilion tersebut telah diterangkan secara terperinci di dalam laporan PAC.

“Kalau kita lihat dalam laporan PAC, pertambahan RM2 bilion itu sudah diterangkan secara jelas. Semasa kita memulakan projek LCS itu kita belum lagi kenalpasti missal mana yang kita nak pakai dan harganya sahaja RM1.092 bilion.

“Kalau kita nak buat enam, maka akan ada pertambahan kos kerana kita perlu membeli lagi segala barangan. Begitu juga dengan mengapa kita meneruskan kontrak dengan Boustead Naval Shipyard. Ini diputuskan tiga kali oleh kerajaan terdahulu supaya kita teruskan dengan syarikat yang sama.

“Kita tidak boleh menukar syarikat dan buat tender baharu. Ianya akan menelan belanja yang lebih besar. Itu sebabnya syarikat ini diteruskan agar projek LCS dapat disiapkan. Mereka buat kerja baik. Tiada sebarang masalah cuma ianya terpaksa diberhentikan dahulu disebabkan kajian semula dan COVID-19. Tiada kelewatan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pembinaan LCS lebih terkehadapan pada peringkat awal.

“Kalau kita lihat dalam laporan PAC, peringkat pembinaan kita terdahulu dan lebih awal daripada masa sepatutnya. Tetapi yang terkebelakang sikit peringkat ‘design’. Sepatutnya 96 peratus tetapi kita di peringkat 84 peratus.

“Jadi, ini saya rasa tiada masalah kerana peringkat Naval Group, principal di sana tiada isu dan saya yakin bahawa kelewatan itu akan dapat diatasi sebaiknya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.