Johor Bentang Belanjawan 2024 Dengan Lebihan RM4.21 Juta

ISKANDAR PUTERI, 23 Nov – Kerajaan negeri hari membentangkan Belanjawan Johor 2024 yang merupakan belanjawan lebihan sebanyak RM4.21 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Belanjawan bertema “Memacu Pembangunan, Menyejahterakan Rakyat” itu merupakan belanjawan lebihan kedua berturut-turut yang dibentangkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan unjuran hasil negeri tahun hadapan sebanyak RM1.804 bilion manakala unjuran perbelanjaan pada tahun 2024 dianggarkan RM1.799 bilion.

“Angka-angka ini menunjukkan Belanjawan 2024 merupakan belanjawan lebihan atau surplus bajet sebanyak RM4.21 juta. Sejumlah RM1.163 bilion pula diperuntukkan sebagai belanja mengurus,” kata beliau di sini.

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024 pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2024) Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau berkata belanjawan tahun hadapan digubal dengan berpegang kepada enam teras Maju Johor dengan didokong 29 strategi dan disokong 99 inisiatif yang berkait rapat dengan perancangan masa hadapan.

Enam teras berkenaan ialah tadbir urus kerajaan; pembangunan ekonomi; jaringan keselamatan sosial; kemudahan dan keperluan asas; keselamatan, kebersihan dan alam sekitar; dan Orang Muda Johor.

“Rakyat di luar sana sedang menghadapi pelbagai cabaran terutamanya berkaitan kenaikan harga barang-barang keperluan dan kejatuhan nilai mata wang yang sekali gus menyebabkan kenaikan kos sara hidup

“Sehubungan itu, Belanjawan 2024 dilihat sebagai satu kesinambungan perjuangan memartabatkan pembangunan ekonomi Johor yang gemilang demi meningkatkan kesejahteraan Bangsa Johor,” kata Onn Hafiz.

Sebelum itu, beliau berkata keadaan ekonomi dunia terus berada dalam keadaan yang mencabar akibat ketegangan geopolitik terus meruncing dan tindakan mengetatkan dasar kewangan yang berterusan di negara-negara utama seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara Kesatuan Eropah bagi menangani inflasi.

Ia diburukkan lagi dengan ketidaktentuan ekonomi utama yang telah memberikan impak kepada negara membangun serta kelemahan dalam dinamika perdagangan berikutan gangguan rantaian bekalan dan ketegangan perdagangan yang berlanjutan, termasuk Malaysia, kata Onn Hafiz.

Meskipun begitu, beliau berkata ekonomi Johor terus rancak dalam era pemulihan ini serta menunjukkan prestasi memberangsangkan sehingga muncul sebagai penyumbang terbesar kepada perdagangan negara, susulan peningkatan eksport dan import. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.