Banjir: Ahmad Zahid Seru Rakyat Di Kawasan Berisiko Sentiasa Siap Siaga

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya di kawasan terdedah kepada banjir sentiasa bersedia dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) itu turut memaklumkan bahawa segala persediaan dan perancangan awal telah dilakukan sebaiknya.

“Dalam menghadapi ancaman banjir akibat perubahan monsun, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di kawasan terdedah kepada bencana banjir agar bersedia dan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selaku Pengerusi JPBP, saya telah memastikan persediaan awal seperti perancangan prosedur operasi standard (SOP) menyelamat dilakukan sebaiknya dan mengharapkan kerjasama daripada semua agensi Kerajaan untuk dimobilisasikan secara berkesan dalam pelaksanaan segala langkah keselamatan.

“Saya yakin dengan koordinasi yang baik, kita dapat mengurangkan kesan atau dampak negatif dari bencana ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, beliau juga telah mengarahkan seluruh jentera Barisan Nasional (BN) di setiap peringkat di Kemaman sekiranya berlaku bencana ini.

“Tambahan itu sebagai Pengerusi BN pula saya telah mengarahkan seluruh jentera di peringkat Bahagian mahupun di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang berada di Kemaman ketika ini untuk sama-sama berganding bahu sekiranya berlaku sebarang bencana.

“Pengalaman jentera BN yang turun membantu akar umbi sebelum ini, sekurang-kurangnya dapat memberi bantuan awal dalam ketidaktentuan situasi banjir ketika ini.

“Saya mengingatkan sekali lagi agar rakyat Malaysia, khususnya di Kemaman untuk terus mematuhi arahan dan petunjuk yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan. Keselamatan anda adalah keutamaan kami,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa dengan semangat kebersamaan, segala ujian akan dihadapi dengan kekuatan dan ketabahan.

“Akhir sekali, marilah kita berdoa agar kita dapat melalui ujian ini dengan kekuatan dan ketabahan. Saya yakin, dengan semangat kebersamaan, kita akan hadapi ujian ini dengan ketahanan dan kesabaran,” katanya lagi.

Setakat pagi tadi, Situasi banjir di Terengganu yang masuk hari keempat bertambah baik dengan dengan mangsa terjejas menurun kepada 3,581 orang daripada 957 keluarga hari ini.

Sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup malam tadi menjadikan tinggal 29 masih beroperasi di lima daerah di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Kuala Nerus kekal paling teruk terjejas dengan 1,598 mangsa daripada 430 keluarga masih berada di dalam 15 PPS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.