KDN Pandang Serius, Siasat Secara Telus Perbuatan Jenayah Pihak Berkuasa – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan Kementerian memandang serius dengan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh pihak berkuasa terutama pihak yang sepatutnya melindungi masyarakat daripada pelakuan jenayah.

Tegas beliau sebarang pelakuan jenayah akan diambil tindakan dan pihak polis akan menjalankan siasatan dengan secara telus dan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak dalam usaha memastikan keharmonian dan keselamatan terjamin.

“Untuk makluman, pihak polis telah menjalankan siasatan berkait Damansara Repot 6927/2022 di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan pemerasan ke atas mangsa bernama Braden Hoh Han Lyam. Pihak polis telah melengkapkan kertas siasatan dan telah dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am & Ketenteraman Awam (KUJAKA) melalui Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor sebanyak dua kali iaitu pada 24 Ogos 2022 dan 24 Mei 2023.

“Sehingga kini, kertas siasatan tersebut masih dalam tindakan kajian pihak KUJAKA. Memandangkan wang rampasan merupakan bahan bukti, maka ianya akan digunakan sebagai bahan bukti dalam kes perbicaraan kelak. Pihak polis tidak bercadang untuk mendedahkan tindakan dan siasatan pegawai penyiasat memandangkan kes masih dalam proses siasatan dan dikhuatiri menganggu proses penyiasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Puan Teresa Kok Suh Sim berhubung dakwaan satu kes yang melibatkan salah laku pegawai polis terhadap seorang peniaga pada tahun lepas.

Dr Shamsul seterusnya menjelaskan, Kementerian komited dalam menentukan keselamatan negara dan keharmonian negara sentiasa terpelihara malah pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelakuan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana individu atau pihak tanpa mengira kedudukan dan pangkat.

“Kementerian melihat insiden ini merupakan perkara yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat kepada integriti pasukan PDRM. Justeru, langkah pihak Kerajaan dalam menubuhkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) wajar diberikan kerjasama oleh semua pihak, malah sehingga 16 November 2023, sebanyak 94 aduan berkaitan PDRM telah diterima selaras dengan seksyen 25 Akta IPCC. Sebarang pelakuan jenayah akan diambil tindakan dan siasatan dijalankan dengan secara telus dan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.