Letak Botol Air Mineral Pun Boleh Menang… Mohd Fadini Ingatkan Pas Jangan Angkuh, Perlekeh Para Pengundi

KEMAMAN, 20 Nov – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Fadini Rahim mengingatkan Pas agar tidak angkuh dan memperlekehkan para pengundi yang bakal memilih wakil rakyat mereka sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.

Jelasnya, kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa mereka boleh menang meskipun meletakkan botol air mineral sebagai calon dilihat memperkecilkan kuasa memilih para pengundi.

“Adat kata letak botol air mineral pun, Insya-Allah boleh menang, kata Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad. Begitu saja dia mahu setarakan (level) para pengundi di Kemaman.

“Jangan angkuh dan perlekehkan para pengundi seperti itu. Langsung tidak memikirkan tentang pembangunan dan ekonomi rakyat. Fikir-fikirkanlah wahai pengundi di Kemaman,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Semalam media melaporkan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad yakin bahawa parti tersebut akan terus memegang takhta kemenangan di kerusi tersebut dengan mengatakan ‘letak botol (air) mineral pun, Insya-Allah boleh menang’.

Pada September lalu media melaporkan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Datuk Anselm Charles Fernandis membenarkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh pempestiyen, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul.

Keputusan dibuat Charles Fernandis yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU ke-15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman, Terengganu, pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November). – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit