Pengiktirafan Antarabangsa: Hasil Usaha Keras Pelbagai Pihak Harumkan Negeri Melaka – Rais

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata pengiktirafan antarabangsa kepada beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri merupakan hasil usaha keras pelbagai pihak dalam mengharumkan negeri Melaka.

Katanya, anugerah yang diperolehi itu secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada Kerajaan Negeri Melaka menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM24).

“Suatu pengiktirafan hebat diterima oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas pencapaian cemerlang kerana berjaya mewakili Malaysia bagi Anugerah Asean Clean Tourist City Standard (2024-2026) di Ventiane, Lao PDR.

“Pelbagai kejayaan dan anugerah berprestij berjaya dirangkul khususnya pada tahun ini, termasuklah di peringkat antarabangsa seperti Green World Award ‘Environmental Improvement Carbon Reduction In Government Global Gold Winner 2023 for Melaka Low Carbon City (MLCC)’ dan ‘Sustainable Development In Government Global Silver Winner 2023 for Melaka Historic City Council Malaysia’.

“Segala ini membuktikan MBMB berada di landasan yang tepat sebagai pihak berkuasa tempatan yang menyediakan kesejahteraan dan kehidupan kondusif buat rakyat Negeri Melaka,” kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka itu dalam akaun X.

Rais turut merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas segala sokongan yang diberikan.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu lagi, di samping itu, terdapat pelbagai anugerah peringkat kebangsaan yang berjaya dirangkul oleh PBT lain.

“Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya – Bandaraya Pintar iaitu Anugerah Penghargaan MPHTJ sebagai SDG Cities dan Anugerah Standard Pelancongan Asean Tandas Awam MITC MPHTJ 2023-2024 (Asean Tourism Standard) bagi tahun ini.

“Begitu juga, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) tidak terlepas peluang untuk merebut Anugerah Penarafan SDG Cities, Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia dan Anugerah Pengiktirafan PBT Cemerlang Kempen Kesihatan KPKT 2023 bagi Kempen Cegah Denggi Tahun 2023.

“Bagi Majlis Perbandaran Jasin juga telah membuktikan kehebatan dengan merangkul Anugerah Pengiktirafan PBT Cemerlang Kempen Kesihatan KPKT 2023 bagi Kempen Pasar Awam Bersih Tahun 2023,” kata Rais yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.

Justeru, Rais mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua PBT atas komitmen dalam menceriakan Negeri Melaka dari pelbagai aspek.

“Teruskan berusaha dan istiqamah dalam melaksanakan amanah yang digalas. Hanya yang terbaik daripada kita buat rakyat Negeri Melaka,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.