Kategori Kumpulan Pendapatan Perlu Disemak Untuk Penyampaian Bantuan – Mohd Isam

KUALA LUMPUR, 16 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa hari ini bertanya berkenaan hasrat kerajaan untuk menyemak pengkelasan kategori pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20.

Jelas beliau, kerajaan perlu menggunakan pendekatan lebih terperinci dalam menyemak kumpulan pendapatan isi rumah rakyat bagi memastikan penyampaian bantuan serta penggubalan dasar yang lebih sistematik.

“Pengkelasan pendapatan isi rumah yang diguna pakai oleh kerajaan dalam merangka dasar dan menentukan kadar bantuan tunai sememangnya agak mengelirukan kerana pengkelasan tersebut yang mula diperkenalkan menerusi Rancangan Malaysia Ketujuh ini tidak mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi rakyat.

“Adakah kementerian berhasrat untuk menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah B40, M40 dan T20 dan memperkenalkan beberapa sub kumpulan pendapatan yang lebih terperinci mengikut setiap kategori agar lebih menyeluruh serta berkesan dari sudut penggubalan dasar dan penyampaian sebarang bentuk bantuan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Tampin bertanya demikian kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Rafizi mengakui bahawa ada beberapa kelemahan dengan pendekatan yang menggunakan kaedah pendapatan kerana ianya tidak mengambil kira faktor lain termasuk tanggungan keluarga dan lokasi mengikut kos sara hidup.

Katanya, kesukaran ini adalah kerana infrastruktur pangkalan data tidak menyeluruh dan tidak memungkinkan kerajaan mengambil kira pemboleh ubah tersebut.

Namun begitu katanya, Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang baharu diperkenalkan membolehkan kerajaan mengumpul lebih banyak maklumat serta mempunyai 120 pemboleh ubah bagi setiap isi rumah keluarga.

“PADU maksudnya melihat kepada pendapatan kemudian ditolak tanggungan dan diambil kira pemboleh ubah seperti lokasi, jarak termasuk harta dan menerusi ini pada pandangan kerajaan akan memberikan gambaran lebih adil.

“Apabila kita sudah ada taburan berdasarkan pendapatan boleh belanja bersih ini maka kaedahnya adalah sama dan kerajaan selepas itu boleh memastikan penyelarasan bantuan itu adalah khusus kepada kumpulan-kumpulan tertentu dengan kaedah lebih kompleks,” ujar beliau.

Terdahulu pada Mei, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan PADU yang mula dibangunkan sejak Mei lalu sudah mencapai 60 peratus dan sedia untuk digunakan pada Januari tahun depan

PADU diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut bermatlamat mengenal pasti ketirisan yang wujud sekali gus menambah baik pelaksanaan sistem subsidi kepada golongan sasaran. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.