Parlimen: Noraini Bangkitkan Program Pembangunan Vendor, Program Keusahawanan Siswazah

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad meminta penjelasan apakah kerajaan akan memperluaskan lagi penglibatan pelbagai sektor lain di dalam Program Pembangunan Vendor di negara ini selain daripada sektor sedia ada.

Menerusi perbahasannya di Parlimen peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini, beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan penglibatan 29 buah syarikat anchor yang terlibat dengan 1,288 syarikat.

“Awal tahun ini kerajaan mengumumkan 29 buah syarikat anchor dengan jumlah 1,288 buah syarikat vendor bumiputera telah menyertai Program Pembangunan Vendor ini yang terdiri daripada sembilan sektor iaitu automatif, pengangkutan, minyak dan gas, tenaga, telekomunikasi, farmasi, perladangan, hartanah, perkhidmatan dan pembinaan.

“Adakah kerajaan akan menambah lagi sektor yang terlibat seperti sektor ‘advanced technology’ yang terdiri dari teknologi ‘AI, Blockchain’ dan banyak lagi bagi menggiatkan lagi usaha untuk melahirkan lebih banyak PKS dalam bidang tersebut?

“Adakah kita mempunyai syarikat anchor atau MNC dalam bidang ‘new IT’ seperti Alphabet (Google) atau Microsoft yang dapat bekerjasama dalam Program Pembangunan Vendor ini untuk melatih vendor-vendor dalam bidang ‘AI, Blockchain’ dan ‘big data analytics’?,” katanya.

Menerusi perbahasan itu juga beliau yang juga Ketua Wanita UMNO turut membangkitkan beberapa persoalan berhubung program keusahawanan siswazah.

“Setakat ini apakah kerjasama yang telah kementerian laksanakan bersama dengan KPT bagi mengoptimumkan penyertaan siswazah dalam bidang keusahawanan? Mungkin Kementerian boleh kongsikan bentuk kerjasama antara Kementerian dan KPT dalam meningkatkan kebolehpasaran dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

“Selain itu berapa peratus kejayaan peserta dalam program ini, apakah ada dilaksanakan kajian dan analisa keberkesanan program berkenaan. Ini kerana bagi sesetengah jurusan seperti Pentadbiran Perniagaan, kebiasaannya latihan industri akan dilaksanakan dengan menempatkan para siswazah di pelbagai syarikat.

“Adakah selepas ini dengan kerjasama KPT, mana-mana siswazah yang menerima Skim Latihan Siswazah dan Program Keusahawanan boleh dikira sebagai latihan industri? Ini adalah sebagai salah satu galakan agar para siswazah menerima Latihan Keusahawanan secara serius,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.