Kawal Selia Isu 3R: Akta Sedia Ada Mencukupi, Tiada Perancangan Lakukan Penggubalan – KDN

KUALA LUMPUR, 14 Nov – Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan bahawa akta-akta sedia ada dalam mengawal selia isu 3R (raja, bangsa dan agama) sudah mencukupi dan tidak merancang untuk melakukan sebarang penggubalan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpandukan kepada ketetapan dalam Perlembagaan Persekutan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

“Dalam konteks siasatan yang dijalankan oleh PDRM, 3R merujuk kepada isu-isu berkaitan institusi diraja khususnya raja, agama atau kaum. Kerajaan melalui PDRM berpandukan kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa khususnya seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sebagai contoh, dari segi Perlembagaan Persekutuan kebebasan untuk bersuara telah dibataskan oleh Perkara (10) fasal (2) di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan turut menekankan tentang kebebasan beragama dan aspek keharmonian dalam agama melalui perkara 3(1) serta perkara 11.

“…manakala kedaulatan institusi raja pula telah diangkat tinggi melalui perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Isu-isu mengenai hak, keistimewaan dan prerogatif telah ditekankan menurut Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Jelasnya, sebarang perbuatan atau kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 4 dan 3 (1) Akta Hasutan 1948.

“Di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) pula, sebarang perbuatan atau kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 4 dan seksyen 3 (1) Akta sama sebagai kecenderungan menghasut.

“Walaubagaimanapun, seksyen 3 (2) akta yang sama telah dibataskan bahawa sesuatu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau benda lain tidak boleh disifatkan sebagai menghasut seperti termaktub di bawah Akta Hasutan 1948.

“Manakala Akta Hasutan 1948 tidak menyatakan secara khusus bahawa penghinaan terhadap agama sebagai salah satu elemen kecenderungan menghasut di bawah seksyen 3. Justeru sebarang perbuatan atau perkataan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian agama akan disiasat dalam konteks seksyen 298 dan seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar turut memaklumkan bahawa apa-apa perbuatan mahupun tindakan yang bertentangan dengan undang-undag tersebut adalah tidak dibenarkan.

“Selain daripada itu, seksyen 505 Kanun Keseksaan telah memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam. Secara spesifik, seksyen 505(c) Kanun Keseksaan adalah berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

“Ini bermakna, apa-apa jua perbuatan, kenyataan, hantaran, ucapan, penerbitan dan seumpamanya yang bertentangan dengan undang-undang yang dinyatakan di atas adalah tidak dibenarkan jika ia menyentuh isu-isu 3R. Siasatan boleh dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada seperti yang telah dinyatakan.

“Buat masa ini, kementerian berpandangan bahawa akta-akta sedia ada sudah mencukupi bagi mengawal selia isu 3R dan tidak merancang untuk menggubal akta khusus berkaitan perkara 3R yang dimaksudkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.