Sokongan Kepada PM: Pihak Pembangkang Bercelaru Dan Hilang Arah, Keluar Kenyataan Mengelirukan – Zawawi

KOTA BHARU, 12 Nov – Sokongan dasar yang dibuat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan menunjukkan bahawa pihak pembangkang sudah bercelaru dan hilang arah.

Memberi respons kepada kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman menyifatkan kenyataan beliau mengelirukan.

“Kenyataan Tan Sri Annuar Musa menerusi hantaran di laman Facebooknya mengenai Ahli Parlimen Gua Musang dan beberapa ahli parlimen yang menyokong perdana menteri mengelirukan.

“Sebenarnya sokongan ahli-ahli parlimen ini bukan bererti boleh mengubah sebuah kerajaan yang telah terbentuk dari gabungan parti-parti, bukan sokongan daripada mereka.

“…yang berlaku sekarang adalah sokongan dasar yang dibuat kepada Perdana Menteri dan kerajaan sekarang. Ianya menunjukkan bahawa pembangkang sudah bercelaru dan hilang arah,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu, Annuar Musa melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, doktrin sokong individu dan membelakangkan parti boleh menyebabkan jatuhnya kerajaan.

Ujarnya, akta Anti Lompat Parti gagal mengekang aktiviti lompat parti dan ianya disertai dengan umpan peruntukan serta projek.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.