Segala Keputusan Libatkan Dasar Parti Dibuat Secara Konsensus – SUA

ALOR SETAR, 11 Nov – UMNO berpegang kepada prinsip sebarang keputusan yang melibatkan dasar parti akan dibuat secara konsensus, ujar Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, sebagaimana sebelum ini dalam membuat keputusan memasuki Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) secara solo dan juga menyertai Kerajaan Perpaduan dengan melalui Perhimpunan Agung UMNO dan jika ketiadaannya melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO selaras dengan kehendak perlembagaan parti.

“Melibatkan perkara dasar, kita akan bersetuju secara konsensus. Kita membincangkan soal masa depan parti… buat keputusan yang sukar… dalam Islam inilah sistem syura, dalam al-Quran ada menyebut “berbincanglah di kalangan kamu”. Berbincang dalam prinsip Islam iaitu “apabila kamu membuat sesuatu pertimbangan, pastikan ambil kira semua faktor”.

“Perlembagaan UMNO Perkara 8 dan 9 menyebut keputusan parti hanya boleh ditentukan oleh dua badan iaitu Perhimpunan Agung UMNO dan ketiadaannya oleh Majlis Kerja Tertinggi,” ujarnya.

Dr Asyaf berkata ketika merasmikan retreat UMNO Negeri Kedah di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalannya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jamil Khir Baharom; dan Datuk Hasmuni Hassan.

Tegasnya juga, jika wujud tohmahan yang mengatakan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan mengenai dasar parti secara sendirian, ia adalah tidak benar dan salah sama sekali.

Dr Asyraf turut menyentuh, dalam setiap keputusan UMNO berpegang kepada Fasal 3 perlembagaan parti, perkara yang melibatkan masa depan dan survival parti serta prinsip perjuangan yang perlu dikekalkan.

Manakala dalam satu hantaran di Facebook, Dr Asyraf mengucapkan tahniah kepada Mahdzir, kepimpinan UMNO negeri dan seluruh bahagian dalam negeri itu yang menjadi negeri pertama melaksanakan program muhasabah dan introspeksi khas bagi menilai segala kelemahan secara jujur.

“…seterusnya merangka pelan strategi untuk bangkit kembali demi membela rakyat dan meneruskan agenda perjuangan memelihara agama dan bangsa.

“Syabas juga kepada kepimpinan UMNO Kedah semua peringkat tetap istiqamah dan beriltizam untuk terus berkhidmat buat parti bagi mengatur segala gerak kerja demi pengukuhan wadah ini untuk terus berkhidmat buat rakyat.

“Semoga kita terus bangkit kembali dan terus istiqamah dalam perjuangan ini demi rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, di sebelah petang di PULAU PINANG, Dr Asyraf bersama Jawatankuasa UMNO empat peringkat Nibong Tebal dalam sesi penerangan di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Nibong Tebal.

Beliau kemudiannya turut bersama-sama pasukan bola sepak veteran Nibong Tebal dalam riadah perlawanan persahabatan bola sepak di padang sintetik, Akademi Kecemerlangan MARA, Jawi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.