Pemukiman UMNO Kedah: Presiden Komited Realisasikan Pelaksanaan Resolusi

ALOR SETAR, 11 Nov – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi komitmen akan merealisasikan pelaksanaan resolusi yang dicapai dalam pemukiman UMNO Negeri Kedah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkeyakinan parti mempunyai tempoh masa yang mencukupi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) kelak.

“Saya lebih dekat ke arah untuk menterjemahkan pelaksanaan kepada resolusi yang telah dicapai atas kesepakatan ini. Dan saya telah meneliti setiap resolusi dan juga isi kandungan atau konten terhadap strategi pelaksanaan kepada resolusi itu.

“Sebagai Presiden UMNO saya komited untuk membantu UMNO Kedah bagi merealisasikan strategi pelaksanaan resolusi ini dan saya yakin kita mempunyai tempoh 36 bulan daripada sekarang untuk persediaan kita menghadapi PRU-16,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas merasmikan Pemukiman UMNO Negeri Kedah di Hotel Grand Alora di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Seterusnya kata Ahmad Zahid sambil mengucapkan tahniah kepada Mahdzir atas penganjuran program pemukiman itu, ia sebagai satu persediaan dan persiapan awal jentera pilihan raya di pelbagai peringkat.

“Walaupun mungkin agak terlalu awal tetapi kita mesti mengambil beberapa tindakan terutamanya di dalam penyatuan pemikiran kepimpinan peringkat negeri, bahagian dan cawangan-cawangan.

“Langkah yang dilakukan ini insya-Allah akan diikuti negeri-negeri yang lain dan beberapa kaedah untuk struktur organisasi di peringkat jentera pilihan raya akan dirombak dan insya-Allah kita akan (praktikkan) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Kemaman ini.

“Kita telah mengambil keputusan bahawa penyusunan struktur jentera pilihan perlu dirombak,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi.

Berhubung dengan PRK Parlimen Kemaman, Ahmad Zahid berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) berkemungkinan akan meletakkan calon tanpa melihat hierarki jawatan di dalam parti.

“Kita pernah melakukan pemilihan calon untuk calon langsung tanpa melihat kepada hierarki jawatan di dalam parti.

“Dan ini telah diterima dengan baik. Besar kemungkinan kaedah yang sama lakukan di Kemaman, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.