Sokongan Kepada PM: PN Tak Payah Mimpi Jadi Kerajaan Tebuk Atap – Zawawi

PASIR PUTEH, 10 Nov – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman memberi amaran agar tidak bermimpi untuk menjadi kerajaan tebuk atap selepas beberapa orang ahli parlimen mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujarnya, apa lebih pasti Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi perlu membuat kenyataan mengenai sokongan kedua-dua ahli parlimen tersebut yang telah menang atas tiket Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“PN tak payah nak mimpi lagi untuk jadi kerajaan tebuk atap.

“Apa yang pasti, Presiden Pas kena buat kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang dan Jeli kerana mereka menang atas tiket Pas tetapi menyokong Perdana Menteri,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud juga perlu memberikan penjelasan.

“Ini bermakna dua ahli parlimen tersebut sudah tidak aku kepada Presiden Pas. Menteri Besar Kelantan juga perlu membuat penjelasan,” katanya.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Gua Musang dari PN, Mohd. Aziz Abu Naim secara rasmi mengisytiharkan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.