Lipatgandakan Kesiapsiagaan Menjelang Musim Monsun Timur Laut – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 10 Nov – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap semua pihak bersiap sedia dan berdoa agar musim tengkujuh tahun ini seperti mana yang telah diingatkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia tidak menyebabkan sebarang kecelakaan jiwa.

Menurut beliau kenyataan rasmi daripada agensi itu beberapa hari lalu yang menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 ini perlu diberi perhatian oleh semua pihak.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (Malaysian Meteorological Department) telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa MTL atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November 2023 ini.

“Menurut pakar kaji cuaca dalam negara, musim tengkujuh ini mungkin berterusan sehingga Mac 2024 dengan empat hingga enam episod hujan berskala besar atau lebat dijangka berlaku. Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu seterusnya mengingatkan agar masyarakat turut mengambil pendekatan yang sewajarnya semasa musim tengkujuh berkenaan.

“Sebagai wakil rakyat, saya amat berharap penduduk setempat khususnya di Jelebu, di Negeri Sembilan dan seluruh negara dapat melipatgandakan kewaspadaan semasa musim tengkujuh ini.

“Jauhi pusat-pusat rekreasi air atau tempat yang berisiko tinggi, disamping sentiasa mengawasi aktiviti anak-anak kita di luar rumah pada setiap masa. Kurangkan aktiviti di luar bangunan, menggunakan jalan raya dengan penuh cermat dan rujuk sumber-sumber sahih untuk mengetahui situasi cuaca setempat,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, dari pihak kerajaan pula difahamkan agensi di bawah NADMA dan sebagainya telah bersiap siapaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan kelak.

“Saya ingin menarik perhatian rakyat bahawa sebanyak 61,839 anggota melibatkan lima gabungan agensi di bawah NADMA telah diberikan pendedahan tentang persiapan banjir, terutama membabitkan pelaksanaan simulasi bencana serta pusat kawalan operasi.

“Agensi berkaitan juga telah mengenal pasti kawasan tumpuan membabitkan 5,648 lokasi berisiko banjir serta 254 lokasi cerun kritikal sebagai persediaan awal menghadapi musim tengkujuh ini.

“Marilah kita sama-sama berusaha disamping berdoa supaya musim tengkujuh tahun ini tidak menyebabkan sebarang kecelakaan jiwa dan semoga kita lebih bersedia dalam berhadapan dengan bencana alam,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.