Pra-tahfiz Tabika KEMAS, Usaha KKDW ‘Membandarkan’ Minda Kumpulan Sasaran – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 9 Nov – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhasrat untuk ‘membandarkan’ minda kumpulan sasaran yang tinggal di luar bandar dengan memasukkan kurikulum pra-tahfiz di 10,843 buah tabika KEMAS seluruh negara.

Menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertambahan sebanyak RM513 juta kepada preruntukan KKDW memperlihatkan komitmen Perdana Menteri melaksanakan agenda pembangunan di desa.

“Peningkatan sebanyak 4.7 peratus atau sejumlah RM513 juta peruntukan tambahan ini berbanding dengan peruntukan 2023 yang lalu memperlihatkan komitmen Perdana Menteri dalam kami menterjemahkan pelaksanaan agenda pembangunan di kawasan desa ini.

“Kita ketahui bahawa seramai 8.1 juta penduduk Malaysia adalah penduduk yang tinggal di kawasan desa atau kira-kira 24.5 peratus daripada seluruh penduduk. Saya ingin menyebutkan kepada Ahli Parlimen Arau yang mengharapkan pembangunan infrastruktur dibawa juga ke kawasan-kawasan disebut tidak sebagai ‘ori’.

“Ianya bukan soal ‘ori’ atau tidak, tetapi soal bagaimana Madani, membandarkan kawasan-kawasan luar bandar bukan hanya harus melihat dari segi pembangunan fizikal sebaliknya kita harus menukar minda masyarakat kumpulan sasaran itu kepada minda bandar,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, dalam membangunkan segmen luar bandar, mobiliti sosial diberi keutamaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Maksud saya di sini, bahawa soal mobiliti sosial perlu diberikan keutamaan. Ianya bukan soal melakukan pembangunan di kawasan-kawasan pinggir bandar atau membandarkan kawasan luar bandar tanpa berkompromi dengan kemudahan infrastruktur, komunikasi, pendidikan, pembangunan usahawan dan juga kemudahan-kemudahan lain supaya berlaku vertical social mobility.

“Ertinya, berlaku perpindahan minda untuk meningkatkan taraf hidup supaya ianya lebih baik sejak kementerian ini ditubuhkan selepas kemerdekaan. Ini berbanding dengan horizontal social mobility apabila berlaku perpindahan dari kawasan pinggir bandar ke kawasan bandar.

“Soal pokok sekarang ini bagi KKDW adalah bagaimana harus ada keseimbangan di antara pembangunan fizikal dengan pembangunan spiritual. Dalam soal inilah rasa terima kasih itu jarang dapat dirasai oleh yang memberi kerana soal spiritual tidak diberikan suntikan kepada kumpulan sasaran,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa kurikulum di tabika KEMAS yang sedia ada diperkukuhan manakala kurikulum baharu dimasukkan bagi menerapkan agar ilmu agama dapat diterapkan pada peringkat awal.

“Oleh sebab itu keseimbangan di antara fizikal dan spiritual diberikan keutamaan terutamanya di dalam soal pembangunan minda. Itulah di antara sebabnya perubahan yang dilakukan termasuklah mengubah 10,843 tabika-tabika KEMAS dengan kurikulum yang sedia kepada pra-tahfiz.

“Ertinya, kurikulum yang ada diperkukuhkan dan kita masukkan kurikulum baharu agar soal akidah, ibadah dan soal-soal agama ini diterapkan di peringkat seawal usia anak-anak di tabika ini.

“Dua hari yang lalu Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia di-Pertuan Agong telah menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara KEMAS dan Yayasan Pahang yang telah melaksanakan program sama di 21 tadika Yayasan Pahang bersama-sama Yayasan Pintar yang menaungi maahad tahfiz seluruh negara serta UPSI bagi penyediaan pedagogi kepada guru-guru KEMAS ini.

“Dalam hal yang demikian, pembandaran minda ini dilakukan bukan hanya pembandaran fizikal supaya kita tahu akan ada rasa syukur oleh kumpulan sasaran di kawasan desa,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.