Jempol Punya Potensi, Dicadang Sebagai Zon Perindustrian Agropolis – Shamshulkahar

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli mencadangkan Daerah Jempol dibangunkan sebagai Zon Perindustrian Agropolis dengan penekanan sebagai pusat pengeluaran dan pemprosesan utama produk agrikomoditi seperti sawit dan getah serta pemprosesan produk pertanian serta penternakan ruminan secara bersepadu.

Katanya, selain mengoptimumkan aktiviti perladangan, adalah wajar industri pemprosesan produk sawit dibangunkan dalam zon perindustrian agropolis ini seperti contoh pembukaan kilang pemprosesan minyak masak, kilang sabun, kilang mentega, kilang krimer pekat manis dan sebagainya.

“Industri pemprosesan produk agrikomodoti getah juga boleh dibina seperti kilang pembuatan tayar, kilang penghasilan produk lateks seperti sarung tangan, benang getah dan sebagainya.

“Dari segi pengeluaran produk pertanian, Jempol berpotensi menjadi pusat penghasilan produk hiliran pertanian berasaskan tanaman tempatan seperti ubi, keledek, pisang, jagung dan buah-buahan tempatan seperti aktiviti mengetin buah rambutan (laici Malaysia) dan pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2024, di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Shamshulkahar, agropolis adalah satu konsep pembangunan yang menerapkan elemen perbandaran ke sebuah petempatan desa dan dibangunkan sebagai bandar industri pertanian.

“Daerah Jempol antara pengeluar utama hasil sawit memandangkan Jempol mempunyai 28 skim Felda yang bersempadan dengan skim Felda di daerah Bera, Jelebu, Rompin dan Segamat yang juga mengeluarkan hasil sawit.

“Kawasan Jempol juga antara pengeluar hasil tanaman getah dari pelbagai sumber termasuk skim Felda yang menanam getah, ladang Risda dan pekebun kecil getah dan juga di daerah berhampiran seperti di Kuala Pilah dan Jelebu,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.