Pulau Batu Puteh: Rundingan Pembatasan Sempadan Maritim Malaysia-Singapura Sedang Dilaksana

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Rundingan pembatasan sempadan maritim di antara Malaysia dan Singapura kini sedang dilaksanakan di bawah mekanisme dua hala sedia ada yang telah digabungkan kepada satu mekanisme bersama.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia dan Singapura masih mempunyai kawasan persempadanan maritim yang masih belum dimuktamadkan.

“Malaysia dan Singapura masih mempunyai kawasan persempadanan maritim yang masih belum dimuktamadkan di segmen barat dan timur Selat Singapura.

“Rundingan pembatasan sempadan maritim di antara kedua-dua negara kini sedang dilaksanakan di bawah mekanisme dua hala sedia ada yang telah digabungkan kepada satu mekanisme bersama iaitu Joint Meeting of the Malaysia-Singapore Joint Technical Committee on the Implementation of the International Court of Justice Judgment on Pedra Branca, Middle Rocks and South Ledge (MSJTC) & Committee for Boundary Delimitation Pursuant to the Agreement between the Foreign Ministers of Singapore and Malaysia on 14 March 2019 (CBD) bagi meneruskan momentum rundingan positif dalam mencari jalan penyelesaian yang adil dan menyeluruh,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Jelasnya, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa Singapura memiliki kedaulatan ke atas Batu Puteh.

“Sebagaimana Yang Berhormat sedia maklum, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah pada tahun 2008, memutuskan bahawa Singapura memiliki kedaulatan ke atas Batu Puteh manakala Malaysia memiliki kedaulatan ke atas Batuan Tengah.

“Kedaulatan Tubir Selatan sebagai fitur ketinggian air surut atau low tide elevation feature, dimiliki oleh negara yang laut wilayahnya merangkumi fitur marin tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa kedaulatan Pulau Pisang tidak dipertikai oleh Singapura dan negara tersebut mengiktiraf hak kedaulatan Malaysia ke atas pulau tersebut.

“Seperti Yang Berhormat sedia maklum, kedaulatan Pulau Pisang tidak dipertikai oleh Singapura dan adalah hak milik mutlak Malaysia.

“Kerajaan Singapura mengiktiraf hak kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Pisang berdasarkan kepada perjanjian yang telah dimeterai antara Sultan Ibrahim dan Sir James Alexander Sweetenham pada 6 Oktober 1900,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, tetapi Batuan Tengah kepada Malaysia manakala status Tubir Selatan yang terletak lebih ke selatan akan ditentukan kemudian berdasarkan di perairan mana ia terletak.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia berpendirian isu bahawa berkaitan Batu Puteh boleh diselesaikan dengan pembabitan langsung Peguam Negara (AG) Malaysia dan Singapura.

Batu Puteh ialah sebuah batu tunggul kira-kira 7.7 batu nautika (14 km) selatan Tanjung Penyusup, Johor dan 25 batu nautika (44 km) timur Singapura. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.