Kebimbangan Terhadap Sempadan Perairan Negara… Mohd Isam Dapatkan Penjelasan Dalam Parlimen

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa hari ini bertanya berkenaan sejauh mana penguatkuasaan dan aset dimiliki kerajaan dalam mengawal sempadan perairan negara.

Katanya, ini kerana usaha kawalan sempadan perairan negara perlu diperketat untuk mengekang jenayah rentas sempadan yang dibimbangi semakin berleluasa.

“Selain ancaman keselamatan sempadan di Pantai Timur Sabah kita juga tidak boleh mengambil mudah sebarang kelemahan di Selat Melaka iaitu di perairan Negeri Sembilan dan Melaka.

“Jika kawalan penguatkuasa di Selat Melaka berada di tahap yang tidak sepatutnya bimbang keadaan tersebut akan membuka peluang ancaman jenayah rentas sempadan yang dilihat semakin kompleks.

“Sehubungan dengan itu saya ingin mengetahui sejauh manakah keupayaan aset untuk mengawasi perairan Selat Melaka yang mampu direntasi penyeludupan dalam tempoh 15 sehingga 20 minit sahaja daripada Pulau Rupat Sumatera di Indonesia,” katanya.

Mohd Isam bertanya demikian kepada Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi soal lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Saifuddin berkata kawalan perairan sempadan negara dilakukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan rondaan 24 jam seminggu dengan keupayaan aset iaitu kapal, drone dan radar.

Malah katanya, negara mempunyai keupayaan yang meyakinkan dalam memastikan keselamatan sempadan negara berada pada tahap yang terjamin dan mampu memberikan kelegaan kepada rakyat.

“Kawasan maritim negara kita seluas 590 000 kilometer persegi, bersempadan dengan banyak negara jiran. Kalau di Selat Melaka sempadannya bermula dari Singapura ke bawah, kemudian menuju ke Sumatera di atas.

“Kawalan keselamatan sempadan laut ini tugas hakiki itu selain daripada tentera laut di bawah Mindef ialah Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia APMM, jadi rondaannya adalah 24 jam seminggu, mereka punya semua keupayaan aset iaitu kapal, drone dan radar.

“Jadi daripada situ sebarang potensi ancaman bolosnya sempadan negara sama ada dalam bentuk penyeludupan senjata, minyak masak, diesel, senjata api, pendatang asing, kontraban, rokok tanpa cukai, semuanya itu hampir setiap bulan saya menerima aduan, sama ada pemeriksaan fizikal atau rampasan,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.