KKDW Memperkasa Usaha Ke Arah Kesejahteraan Warga Desa

PERKEMBANGAN teknologi semasa telah memperlihatkan satu paradigma baharu kepesatan industri dan aktiviti keusahawanan bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia.

Meskipun perkembangan ini kelihatan positif kepada perkembangan ekonomi negara, tetapi kesan ketidakseimbangan sosio-ekonomi boleh melebar antara kawasan bandar dan perdesaan jika tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan.

Ini kerana, satu per empat atau 8.01 juta daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan perdesaan. Ini adalah aset negara yang perlu dibangunkan sepenuhnya supaya setiap individu dapat mencapai potensi optimum mereka dan diintegrasikan dalam pembangunan Malaysia Madani.

Persoalannya sekarang, adakah terdapat usaha dan langkah konkrit daripada pihak kerajaan melalui kementerian-kementerian tertentu dalam memastikan perkembangan ekonomi dan kepesatan teknologi kini tidak memberi implikasi terhadap kesenjangan pendapatan rakyat di bandar dan desa?

Oleh kerana persoalan ini berkisar kepada masyarakat di luar bandar atau perdesaan negara, saya meneliti beberapa usaha oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui dasar yang menyediakan kerangka hala tuju pembangunan perdesaan ke arah mendukung hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi untuk tempoh sehingga tahun 2030.

Ya, jelas dilihat bahawa KKDW di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW telah mengoptimumkan pelaksanaan program dan projek pembangunan desa bagi meningkatkan ketersambungan di kawasan desa dan bandar, termasuk membina dan menaik taraf jalan dan laluan perhubungan desa, menyediakan kemudahan bekalan air bersih dan bekalan elektrik 24 jam, membina dan membaik pulih rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan lain-lain program pembangunan.

Walau bagaimanapun, masih wujud cabaran dalam membangunkan masyarakat di perdesaan dari sudut kekurangan pekerjaan berpendapatan tinggi, peluang pasaran yang terhad, tiada economy of scale dan kurang keterlibatan dalam penghasilan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah tinggi.

Bagi mengatasi kelompongan ini, KKDW dilihat aktif menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) sebagai salah satu platform yang mengumpulkan pelbagai peluang untuk menjana pendapatan, peningkatan kerjaya serta berbagai inisiatif yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

Ini adalah satu usaha yang baik kerana penganjuran KUD ini mampu mencetuskan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan masyarakat di kawasan perdesaan. Program ini juga bermanfaat kepada usahawan desa untuk mengembang dan mempromosikan produk mereka. Yang lebih penting, mereka dapat membentuk jaringan pemasaran yang lebih luas dan meningkatkan hasil jualan.

Tidak dinafikan bahawa usaha seumpama ini telah memberi impak positif dalam pembangunan masyarakat desa, dengan disokong oleh beberapa lagi inisiatif dari beberapa kementerian lain. Keberkesanan usaha memperkasa masayarakat desa boleh dilihat melalui beberapa indikasi seperti kadar kemiskinan, pengangguran dan aliran migrasi dari luar bandar ke bandar yang dilaporkan menurun.

Namun, seperti ulasan di awal penulisan ini, usaha yang dilakukan perlulah berterusan, konkrit dan menyeluruh. Jika pelaksanaannya hanya bersifat selektif dan bermotif politik semata-mata, pastinya apa yang pernah diuar-uarkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memastikan tidak ada seorang rakyatpun yang tercirir dalam menerima manfaat daripada inisiatif kerajaan, hanyalah sekadar omongan kosong, jauh sekali untuk negara menggapai agenda membasmi kemiskinan tegar di negara ini.

Buat masa ini, terbukti bahawa usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan khususnya oleh KKDW sebagai peneraju kesejahteraan masyarakat luar bandar berjaya membawa keberhasilan dan berada di landasan yang tepat selaras dengan agenda Malaysia madani.

Jika keadaan seperti ini terus kekal dan diperkasakan, pastinya jurang ekonomi di antara masyarakat bandar dan perdesaan akan terus menguncup sekaligus impak kemakmuran dan kesejahteraan negara dapat dinikmati oleh rakyat keseluruhannya.

Oleh: KKDW

*****************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.