Belanjawan 2024 Seiring Maqasid Syariah – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melihat Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan Madani bertepatan dengan Maqasid Syariah yang secara keseluruhannya untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat mencakupi pelbagai sektor dan aspek.

Menurut beliau Maqasid Syariah yang terangkum di dalamnya beberapa perkara atau komponen utama telah dilibatkan serta ditingkatkan peruntukan dalam usaha memastikan segala agenda dan segala pelaksanaan kelak dapat direalisasikan sebaiknya.

“Umumnya semangat pembentangan itu telah mengambil kira persiapan untuk akhirat dan juga persiapan untuk dunia supaya kita tidak dipandang miskin dan tidak dipandang lekeh. Untuk persiapan dunia Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah umumkan peruntukan untuk kesihatan, pertanian, pertahanan, pendidikan dan macam-macam lagi dan kita lihat secara tuntas seiring dengan Maqasid Syriah… untuk menjaga lima perkara yang besar… soal menjaga agama, akidah, nyawa, akal, menjaga keturunan dan sebagainya lagi terangkum di dalam bajet tersebut.

“Soal menjaga agama telah pun diletakkan satu peruntukan yang sangat besar, RM1.9 bilion… dalam soal menjaga kedaulatan negara, pertahanan juga mendapat satu peruntukan yang cukup besar dan lain-lain. Ini termasuk dalam soal menjaga kedaulatan negara.

“Soal menjaga akal iaitu dalam aspek pendidikan… Kementerian Pendidikan Tinggi mendapat satu peruntukan yang begitu tinggi selain peruntukan untuk kembangkan lagi ekonomi negara. Justeru akhirnya saya melihat soal peruntukan agama itu cukup besar dan Kerajaan Perpaduan dalam pembentangan bajet yang lalu atas nama memperkasakan ekonomi Madani berteraskan enam nilai utama cukup baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Segmen HIWAR: Hala Tuju Pembangunan Islam Menjelang 2024. Selain beliau, ahli panel kedua ialah Ustaz Ahmad Izwan Datuk hamzah, Naib Ketua UMNO Bahagian Ampang. Segmen tersebut dihoskan Pengarah WTC Islamic Centre, Haji Afif Farhi Othman.

Jamil Khir yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seterusnya menambah kerajaan hari ini cukup serius untuk memperkukuhkan lagi ekonomi negara terutama selepas berlakunya pertukaran kerajaan pada tahun 2018 yang lalu.

“Kita nak melihat betapa seriusnya pembentangan bajet pada tahun 2024 kerana ini peluang yang paling terbuka untuk Kerajaan Perpaduan. Pelbagai kemelut menimpa negara selepas bertukar sahaja kerajaan BN (Barisan Nasional)… hutang negara pada waktu itu RM696 bilion tetapi kemudiannya meningkat begitu laju dan drastik sehingga hampir RM1.5 trilion.

“Satu jangkauan yang besar dan begitu juga tiga kali perdana menteri bertukar dalam satu penggal. Keadaan ekonomi yang tidak menentu ini… PM ambil peluang untuk bentangkan bajet… dan kita faham setiap tahun meningkat. Kita tengok hartanah sebagai contoh akan naik… begitu juga bajet negara meningkat setiap tahun.

“Jadi saya melihat peningkatan satu hal dan keduanya bagaimana kerajaan prihatin untuk melihat perubahan yang begitu cepat dan laju untuk rakyat kerana kalau kita melambatkan perubahan serta peningkatan untuk ekonomi rakyat yang berada di bawah sana paling terkesan,” ujarnya. – UMNO Online.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.