Kementerian Luar Negeri Dan Agensi Berkaitan Komited, Beri Perhatian Khusus Keselamatan Perairan Negara

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Kementerian Luar Negeri bersama agensi-agensi berkaitan sentiasa komited dan memberikan perhatian khusus terhadap keselamatan kawasan perairan negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan Malaysia melalui agensi-agensi berkaitan sentiasa mengawasi dan memantau perairan negara untuk memastikan ianya tidak dicerobohi.

“Dasar Luar Negara Malaysia sentiasa mengamalkan konsep yang mengutamakan kedaulatan dan kepentingan negara. Kerajaan Malaysia melalui agensi-agensi berkaitan dan agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa mengawasi serta memantau perairan negara untuk memastikan ia tidak diceroboh agensi penguatkuasa asing di samping melindungi kepentingan nelayan Malaysia.

“Tindakan yang diambil termasuklah rondaan, pengawasan dan penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan hak kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

“Kementerian Luar Negeri bersama agensi-agensi yang berkaitan seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa komited dan memberikan perhatian khusus terhadap keselamatan di kawasan perairan negara,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Jelasnya, Kementerian Luar Negeri juga menggunakan segala platform sedia ada bagi memastikan agensi penguatkuasa asing tidak menceroboh perairan negara.

“Kementerian Luar Negeri juga menggunakan platform-platform dua hala yang sedia ada untuk membangkitkan perkara ini dan memohon kerjasama kerajaan asing berkaitan untuk memastikan agensi penguatkuasa asing tidak menceroboh perairan negara.

“Dalam hal ini, mekanisme sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia berhubung layanan terhadap nelayan kedua-dua negara yang memasuki kawasan didakwa bertindih di bawah adalah ‘review meeting on the implementation of MoU (Memorandum of Understanding) between the government of Malaysia and the government of Republic of Indonesia in respect of the common guidelines concerning treatment of fisherman for maritime law of enforcement agencies of Malaysia and Republic of Indonesia’,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara masih dalam usaha mencari penyelesaian untuk masalah pertindihan kawasan perairan.

“Ada dua mekanisme yang dilakukan iaitu melalui pendekatan di peringkat nasional dan badan yang dipertanggungjawabkan adalah MKN. Di pihak Indonesia Badan Keamanan Laut (Bakamla).

“Kedua-dua agensi ini adalah mewakili negara masing-masing dalam usaha mencari penyelesaian termasuk dalam konteks MoU yang saya sebutkan tadi. Kali terakhir mereka mengadakan perbincangan dalam menyelesaikan masalah kawasan bertindih pada tahun 2021,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar para nelayan bekerjasama dengan pihak TLDM untuk meletakkan alat penggera di bot masing-masing.

“Kedua, kawasan yang melibatkan pantai barat kita menggunakan pendekatan kreatif TLDM dengan memperkenalkan sistem satu alat yang diletakkan di bot-bot nelayan masing-masing.

“Cuma yang menjadi cabaran kita ialah bagaimana nak meyakinkan nelayan-nelayan supaya alat pemantauan yang diletakkan di bot mereka dapat diterima pakai. Ini sangat mustahak kerana apabila ada apa-apa berlaku, mereka boleh menyampaikan maklumat terus kepada TLDM.

“Itu telah pun dilaksanakan dan saya mengharapkan supaya nelayan-nelayan kita bekerjasama dengan pihak TLDM untuk meletakkan alat penggera yang dibuat selama ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.