Tumpuan Penuh Untuk Pastikan LCS Siap Mengikut Jadual – Mohamad

KUALA LUMPUR, 31 Okt – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan pada masa kini, kementerian memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dapat disiapkan mengikut jadual.

Katanya ia seperti mana kontrak tambahan keenam yang telah ditandatangani pada 26 Mei 2023 yang lalu.

Menurut Mohamad, kos LCS ini yang meningkat tidak melibatkan kos berulang bagi kerja-kerja pembinaan kapal namun disebabkan kelewatan yang lama dan perubahan spesifikasi LCS seperti mana yang diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bagi Surface-to-Surface Missile (SSM), Decoy Launching System (DLS), dan Integrated Platform Management System (IPMS).

“Perubahan spesifikasi ini amat diperlukan disebabkan perkara seperti SSM. Perubahan ini adalah bagi memenuhi keperluan operasi TLDM dan Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) terkini. Misil SSM dari Norway yang dipilih mempunyai teknologi terkini serta kos yang lebih murah berbanding spesifikasi asal dari pembuat di Perancis.

“DLS kebolehsokongan bagi peluru peralatan asal hanya bertahan untuk 15 tahun sahaja. Pada 20 Disember 2016, Kementerian telah dimaklumkan bahawa Original Equipment Manufacturer (OEM) asal tidak boleh lagi membekalkan peluru decoy disebabkan kilang pembuatan telah terbakar. Oleh itu, perubahan DLS perlu dilaksanakan bersesuaian dengan keperluan TLDM.

“Kemajuan sistem IPMS dalam projek LCS didapati adalah terlalu perlahan. Oleh yang demikian, TLDM telah melaksanakan feasibility study bagi mempercepatkan kemajuan sistem ini. Rentetan itu, sistem yang diluluskan oleh kerajaan adalah yang terbukti penggunaannya di aset TLDM pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Penggulungan Belanjawan Tahun 2024 Peringkat Dasar Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau lagi prinsip kementerian dalam meneruskan pembinaan LCS ini adalah bersandarkan kepada beberapa faktor, iaitu seperti diakui sendiri oleh pihak TLDM bahawa kapal-kapal ini amat diperlukan bagi mengukuhkan armada selaras dengan Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM.

Ujar beliau ianya bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM dalam melindungi serta memelihara keselamatan dan kedaulatan perairan negara.

Faktor kedua, kata Mohamad lagi sekiranya projek ini tidak diteruskan, 400 vendor tempatan yang terlibat dalam projek LCS ini akan mengalami kerugian.

“Sehubungan dengan ini, kementerian telah mengadakan beberapa siri bengkel melibatkan pelbagai pihak seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Jabatan Peguam Negara dan TLDM.

“Kementerian Pertahanan juga telah membentangkan cadangan Pelan Pemulihan LCS kepada Jemaah Menteri sebanyak empat kali iaitu pada 20 November 2020, 5 Mei 2021, 4 Mac 2022, dan akhirnya pada 20 April 2022, Jemaah Menteri pada masa itu telah memutuskan untuk meneruskan projek LCS ini, dan Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) dikekalkan untuk meneruskan projek pembinaan kapal LCS.

“Untuk makluman pada 19 April 2023, Kerajaan MADANI melalui Mesyuarat Jemaah Menteri, telah memberi persetujuan kepada Kementerian Pertahanan untuk meneruskan keputusan yang telah dibuat oleh Jemaah Menteri yang terdahulu,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.