Kolaborasi BN/PH Negeri Sembilan Semakin Baik, Utamakan Politik Khidmat
JELEBU, 30 Okt – Buat pertama kalinya dan seiring dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sembilan ditubuhkan bersama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu.
Jika penggal sebelum ini PH menjadi kerajaan dan BN di blok pembangkang dan begitu juga sebaliknya BN menjadi kerajaan dan PH pembangkang pada penggal-penggal sebelumnya, atas sifat kedinamikan dan landskap politik yang baharu kedua-dua parti itu bergabung membentuk kerajaan di negeri tanah beradat itu.
Mengulas perkara berkenaan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan ikatan dan persefahaman antara BN dan PH di negeri itu semakin hari dilihat semakin baik.
“Saya lihat setelah dalam tempoh dua bulan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan kita semakin hari semakin menuju kepada satu ikatan kekuatan yang mempunyai persefahaman antara satu sama lain.
“Saya meletakkan dan mengharapkan supaya ini dikekalkan persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, pemimpin dengan pemimpin yang lain dan saya percaya Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan akan menjadi satu kerajaan contoh dan ikon kepada negeri-negeri yang lain.
“Ini akan menjadi satu ‘template’ baharu kepada parti-parti yang lain juga untuk bersama-sama sebagai satu parti sebagai satu kolaborasi yang mengamalkan politik khidmat kepada seluruh rakyat yang berbagai kaum dan bangsa, insya-Allah,” katanya yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan kepada UMNO Online.
Beliau ditemui selepas program Jelajah Akar Umbi Presiden UMNO bersama UMNO Bahagian Jelebu di sini, baru-baru ini.
Ulas Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, dalam mendepani landskap politik yang baharu, sudah pasti segala perbezaan akan disantuni dengan sebaiknya.
“Ini sebagai satu landskap politik baharu sama ada di Persekutuan dan Negeri Sembilan. Tentunya apabila kita bersama dalam landskap politik baharu ini, ada beberapa perkara yang akan memakan masa untuk mencapai kesesuaian dan keserasian itu.
“Dan saya tidak fikir perbezaan yang terdapat di antara dua parti besar ini boleh menjadikan sebagai tembok pemisah kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan.
“Kalau kedua-dua pihak boleh menerima secara terbuka kelebihan, kebaikan serta kelemahan setiap parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, kita tidak akan hadapi masalah,” katanya lagi. – UMNO ONLINE