KPM Mesti Teruskan Minggu Solidariti Palestin – Puad

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di semua institusi pendidikan wajar diteruskan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, KPM tidak wajar tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mahukan penganjuran minggu solidariti ini dibatalkan.

“Kerana nila setitik ada pihak dan individu ambil kesempatan desak KPM batalkan minggu Solidariti Palestin yang bermula esok. KPM tidak wajar tunduk kepada desakan itu.

“Ternyata insiden pelajar sekolah bawa senjata mainan dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan (29 Okt-3 Nov) dan tidak patuh garis panduan ditetapkan.

“Di saat seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel maka tidak ada sebab semua peringkat rakyat Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin yang juga ternafi hak pendidikan berkualiti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu pada Khamis, KPM memaklumkan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November sebagai satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.

Kata kementerian itu dalam kenyataan, program itu akan melibatkan semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara yang bertujuan mendidik murid-murid nilai manusiawi yang turut merangkumi asasi manusia dan sifat ihsan.

Bagaimanapun tular rakaman video di media sosial mengenai program di sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Namun, KPM mengesahkan video berkenaan dianjurkan di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikuti panduan yang ditetapkan pihak kementerian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.