Kesepaduan, Kebersamaan Ramuan Paling Ampuh UMNO Kekal Utuh – Mustapha Nagoor

JEMPOL, 28 Okt – Ramuan yang paling ampuh untuk UMNO kekal utuh dan kuat adalah kesepaduan dan kebersamaan di kalangan ahli, ujar Ketua UMNO Bahagian Jempol Mustapha Nagoor.

UMNO katanya, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, tiada pilihan dan mesti memperkuatkan saf bagi memastikan kembali menjadi dominan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Jadi sebenarnya rahsia paling utuh kembali menjadi dominan parti ialah menjaga hubungan di dalam parti kita dahulu. Kesepaduan, kebersamaan, solidariti kita. Inilah sebenarnya yang presiden tekankan.

“Jadi insya-Allah kita pemimpin di peringkat akar umbi kita tidak ada pilihan kita mesti rapatkan saf kuatkan solidariti dan bergerak bersama untuk pastikan pada pilihan raya akan datang UMNO kembali dapat tempat di hati rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong itu kepada UMNO Online ketika ditemui baru-baru ini dalam siri Jelajah Akar Umbi Presiden di UMNO Bahagian Jempol di sini.

Dalam majlis tersebut, Mustapha turut membuat pengumuman melantik Ahli Parlimen Jempol Datuk Shamshulkahar Mohd Deli, ADUN Jeram Padang Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jempol.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Mustapha juga bersetuju semua ahli perlu menolak segala sentimen yang boleh pecah-belahkan parti.

“Ada dua isu, satu isu dalaman yang tidak ada orang lain boleh perbaiki dan perbetulkan kecuali diri kita sendiri. Jadi kita selesaikan masalah dalaman kita yang orang lain tidak boleh campur.

“Yang kedua, isu luaran yang dimainkan oleh orang luar iaitu tohmahan, fitnah, memburukkan imej parti, pembunuhan karektor supaya orang benci kepada parti kita. Yang ini kita kena jawab dan kita boleh jawab jika kita dalam satu langkah yang sederap.

“Jadi sebab itu mulakan dengan perkukuhkan parti, solidariti kita dahulu kemudian kita jawab satu persatu pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan. Saya yakin dan percaya insya-Allah pada pilihan raya akan datang rakyat akan kembali dan bersama-sama dengan UMNO,” kata Exco Kerajaan Negeri Sembilan itu lagi.

Manakala mengulas mengenai Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan, beliau menggesa semua pihak perlu mempertahankannya untuk kestabilan dan seterusnya mampu memakmurkan ekonomi negeri.

“Bagi saya ini satu kerjasama yang baik dan perlu dipertahankan, perkukuhkan supaya kerajaan negeri dan pusat sama sealiran seiringan dan dengan itu kita harap ekonomi akan lebih stabil kerana rahsia ekonomi stabil ialah politik yang stabil.

“Jika politik stabil orang luar akan datang berpusu-pusu ke negara dan negeri untuk melabur dan ini akan memakmurkan ekonomi, bila ekonomi makmur, kerajaan akan ada duit secukupnya untuk dikembalikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan dan insentif,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.