Bajet 2024: Pembangkang Tidak Ada Bahan Untuk Manipulasi Dan Diperbesarkan – Abdul Rahman

KUALA  LUMPUR, 28  Okt – Bajet 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu yang lalu ternyata tidak ada isu besar yang mampu dimanipulasi serta diperbesar-besarkan oleh pihak pembangkang selain memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam pelbagai segmen.

Walaupun ada penambahbaikan secara kecil, namun secara keseluruhannya bajet tersebut tidak dapat dijadikan ‘senjata’ oleh pihak pembangkang dan ternyata dengan pelbagai inisiatif yang diwujudkan serta bakal dilaksanakan akan memberi impak kepada ekonomi negara dan rakyat secara amnya.

Hal berkenaan turut dipersetujui oleh Ahli Majlis Kerja tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang berpandangan memang betul ia satu bajet yang menyeluruh dan mencakupi pelbagai kelompok masyarakat dan rakyat di negara ini.

“Bajet kita ini tidak ada banyak sangat yang perlu dikomen walaupun penambahbaikan itu adalah biasa. Mana-mana kerajaan dalam dunia ini bajet terhad dan sudah tentu setiap tahun itu kita melihat mana satu kelompok yang perlu diberi penekanan. Contoh kalau tahun ini Orang Kelainan Upaya (OKU) diberi penekanan mungkin kurang untuk segmen-segmen yang lain dan kalau tahun depan ibu tunggal pula yang dapat OKU pula akan berkurangan sedikit. Jadi ianya beralih dari tahun ke tahun, dari segi fokus kerajaan.

“Tetapi dari segi keseluruhan saya tengok bajet ini merangkumi semua aspek dan ianya lebih banyak mengurus urusan dalaman negara kita daripada bergantung apa yang berlaku di luar negara yang mungkin di luar kawalan kita.

“Jadi fokus Kerajaan Perpaduan ini untuk menangani isu-isu struktur ekonomi dalaman kita diberi penekanan yang jauh daripada cuba melihat mengurus faktor-faktor ekonomi yang mungkin di luar kawalan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ‘Program Bual Bicara Dari Rakyat Untuk Rakyat’ yang disiarkan secara langsung menerusi medium Facebook UMNO-Online, di sini, pada Khamis. Program berkenaan dihoskan Datuk Dr Azizan Abdul Majid.

Abdul Rahman seterusnya berkata pemberian tunai yang masih lagi diteruskan pada bajet kali ini adalah satu perkara yang amat baik dan ia bermula pada zaman Barisan Nasional (BN) yang merupakan insentif kerajaan berhubung penstrukturan subsidi pada waktu itu.

“’Cash transfer’ bermula pada zaman BN dahulu apabila Datuk Seri Najib (Mohd Najib Tun Razak) memulakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Saya masih ingat lagi waktu itu kita cuba kurangkan subsidi gula… bermula daripada situ dan kemudiannya Datuk Seri Najib membuat keputusan bahawa kalau subsidi itu dikurangkan kita kembalikan kepada rakyat secara bersasar secara pemberian tunai.

“Ada kebaikan pemberian tunai ini… apabila berbentuk tunai penerima itu boleh buat keputusan sendiri mana satu dalam atau barangan serta perkhidmatan yang mahu dibeli dengan tunai tersebut. Ada yang mungkin mahu beli baju sekolah anak dan sebagainya.

“’Cash transfer’ akan memberi kebebasan kepada penerima untuk membelanjakan pemberian tunai itu. Keduanya pemberian tunai itu baik untuk ‘local economy’… maknanya jika di kampung itu ada pasar malam, kedai borong, pasar tani dan sebagainya… kalau di Sabah Tamu, kebanyakan duit itu akan dibelanjakan di kawasan masing-masing. Ini membolehkan ekonomi itu berputar,” ujarnya.

Ujar beliau lagi dengan pemberian tunai ini ia bersasar dan keduanya dapat membantu ekonomi tempatan dan ketiganya memberi kebebasan kepada penerima untuk membeli barangan atau perkhidmatan yang mereka mahu tanpa perlu kerajaan mengatakan subsidi untuk gula, tepung, beras dan sebagainya.

“Jadi dalam keadaan untuk mengurus ekonomi yang agak rumit sekarang ini pemberian tunai ini adalah satu pendekatan terbaik… bukan sahaja negara kita yang melaksanakannya malah Singapura, Arab Saudi dan lain-lain.

“Jadi ini adalah salah satu cara untuk membantu rakyat khususnya mereka yang tidak berkemampuan di samping kita memastikan ekonomi ini berjalan sebaiknya,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.