TVET: Kerajaan Rancang Ahli Akademik Dapatkan Latihan Intensif Di Bawah Program ‘Training of Trainers’– Ahmad Zahid

LONDON, 26 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Malaysia bercadang menghantar ahli akademik dan jurulatih dalam bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia ke negara berpotensi bagi mendapatkan latihan intensif di bawah Program ‘Training of Trainers’.

Jelasnya, Korea Selatan dan Turkiye merupakan antara negara yang mempunyai institusi TVET terbaik.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah menerima undangan dan menyertai sesi bual bicara anjuran Overseas Development Institut (ODI) iaitu sebuah badan pemikir antarabangsa yang berpengkalan di United Kingdom (UK).

“Saya berpeluang berdiskusi bersama Prof Dominic McVey, yang memfokuskan kepada topik ‘Modal Insan sebagai Pemacu Pembangunan Negara: Wawasan daripada Agenda Ekonomi Baru Malaysia.’

“Ketika sesi tersebut juga, kami telah menyentuh hala tuju strategik Malaysia terhadap pembangunan modal insan, dengan tumpuan khusus untuk membentuk masa hadapan melalui TVET, meneroka peluang dalam ekonomi luar bandar, dan menekankan peranan modal insan di dalam industri halal.

“Di samping itu, saya juga berkesempatan terlibat dalam sesi soal jawab bersama peserta yang hadir. Saya merasa sangat beruntung kerana dapat bersama di dalam program yang begitu interaktif bersama pemegang taruh dari pelbagai industri dan individu yang berminat di dalam modal insan di Malaysia,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Terdahulu beliau berkesempatan untuk terlibat dalam perbincangan bersama Lord Alexander Trees, iaitu salah seorang Anggota di House of Lords.

“Antara lain, perbincangan kami berkisar kepada kaedah pemengsanan haiwan (animal stunning methods), membuat perbandingan antara teknik konvensional dan prinsip-prinsip amalan Halal.”

Jelasnya menerusi laman Facebooknya, Lord Trees telah membuat sumbangan besar kepada penyelidikan veterinar dan kajian penyakit tropika serta mendapat pengiktirafan dalam kedua-dua bidang veterinar dan politik dan sepanjang kerjayanya, telah memegang banyak jawatan berprestij dalam kepimpinan negara dan antarabangsa termasuk sebagai Presiden Royal College of Veterinary Surgeons dan Naib Presiden European College of Veterinary Parasitology.

Ahmad Zahid berada di UK dalam rangka lawatan terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.