Terus Kecam Rejim Israel, Pemuda UMNO Lakukan Protes, Demonstrasi Demi Keadilan Palestin – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Pemuda UMNO mengutuk serta mengecam tindakan yang tidak berperikemanusiaan yang dibuat oleh rejim zionis terhadap rakyat Palestin, tegas Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin.

Katanya, konflik yang paling panjang sehingga sekarang masih tidak ada petanda gencatan peperangan apatah lagi secara jelas gabungan kuasa besar beri sokongan pada Israel.

“Saya melihat konflik antara dua entiti ini turut memberi kesan pada jiwa politik (kuasa-kuasa besar) yang mempengaruhi dunia seperti United Nation Security Council (UNSC) terutamanya Amerika Syarikat dengan secara terbuka dan megahnya beri sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Israel dan meletakkan ‘better ship aircraft carrier’ untuk meninjau dan sebagainya.

“Satu kuasa besar lain seperti China menyatakan menyokong kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Secara ‘geopolitical collision of thought’ hantar China dan Amerika Syarikat. Peranan kuasa-kuasa besar memberi kesan bagaimana konflik ini diurus.

“Kalau tidak ada keikhlasan sebenar isu sejagat ini akan dieksploitasi oleh pihak yang lebih besar sedangkan jutaan nyawa melayang dan ini cukup menyedihkan. Apakah keadaan ini akan berlaku berpanjangan tetapi tiada tindakan diambil. Israel melanggar segala undang-undang dan keadilan yang sepatutnya rakyat Palestin harus mendapatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Facebook UMNO Online dalam Segmen Apa Cerita… bertajuk Palestin: Konflik Agama atau Kemanusiaan. Turut hadir Exco Puteri UMNO Malaysia, Nurshaidatul Akhmar Sahrudin.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sembrong menjelaskan pergerakan itu akan terus melakukan protes demonstrasi demi kesedaran termasuk di media sosial.

“Pemuda UMNO tidak akan mendiamkan diri untuk terus melakukan protes, demonstrasi dan juga dalam platform media sosial. Sekiranya Pemuda UMNO diam, rakyat akan mengatakan ini ‘dinormalisasikan’ dan perkara ini tidak akan dibenarkan berlaku.

“Pemuda UMNO berhimpun atas kesedaran menyatakan bantahan terhadap Israel. Kesedaran dan kerjasama ini bukan hanya tumbuh di kalangan ahli UMNO malah sentimen ini tumbuh di kalangan ahli-ahli politik orang muda dalam negara dan ianya merentasi kepentingan politik kepartian semata-mata.

“Di peringkat Pemuda UMNO sekarang ini sedang digerakkan misi kemanusiaan terutamanya bekalan-bekalan bantuan buat mereka yang terkesan bahkan lawatan kepimpinan negara ke Mesir telah memaklumkan hasrat Malaysia.”

Dalam masa yang sama Hafiz turut menghormati pendirian pimpinan tertinggi negara yang konsisten membela nasib rakyat Palestin.

“Suara Malaysia dihargai dan ini jelas menunjukkan kepimpinan yang konsisten membawa suara tentang isu Palestin dan Israel ini di peringkat tertinggi. Kita tidak perlu apologitik mengatakan pendirian Asean di peringkat rantau apatah lagi berada di OIC walaupun negara ini bukannya negara Arab,” ujarnya.

Konflik peperangan Palestin dan Israel tercetus pada 7 Oktober lalu sehingga kini lebih lima ribu rakyat Palestin terkorban. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.