Isu Palestin: Malaysia Kemuka Kenyataan Bertulis Kepada ICJ, Cadang Sertai Sesi Lisan – Zambry

KUALA LUMPUR, 26 Okt – Malaysia telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mendapatkan penasihat berhubung isu Palestin dan bercadang untuk menyertai sesi lisan pada Februari akan datang.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, isu berkaitan Palestin sebenarnya telah dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengikut peruntukan Statut Rom.

“Menyentuh persoalan membawa Benjamin Netanyahu ke mahkamah jenayah antarabangsa, ingin saya jelaskan di sini bahawa isu berkaitan Palestin sebenarnya telah pun dibawa ke ICC.

“Untuk makluman, mengikut peruntukan dalam Statut Rom, sesuatu kes jenayah antarabangsa yang tersenarai dalam statut tersebut hanya boleh dirujuk kepada pendakwa raya ICC oleh tiga pihak iaitu sama ada negara-negara ahli Statut Rom sendiri, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau dengan inisiatif pendakwa raya ICC sendiri.

“Palestin telah menerima pakai Statut Rom pada tahun 2015. Susulan itu, pendakwa raya ICC telah membuat pemeriksaan awal ke atas situasi Palestin sama ada kriteria-kriteria Statut Rom dipenuhi untuk membuka sebarang siasatan,” katanya semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Jelasnya, pihak pendakwa raya ICC telah memutuskan kriteria-kriteria berkanun bagi membuka siasatan untuk isu Palestin.

“Pada Disember 2019, pihak pendakwa raya ICC telah memutuskan kriteria-kriteria berkanun di bawah statut Rom dipenuhi bagi membuka siasatan. Seterusnya, pra-perbicaraan dalam kamar telah dilaksanakan pada Februari 2021 untuk menentukan sama ada ICC mempunyai bidang kuasa ke atas situasi Palestin disebabkan ia melibatkan isu perundangan dan wilayah yang kompleks, mencakupi Tebing Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis.

“Hasil daripada pra-perbicaraan dalam kamar tersebut pendakwa raya ICC telah memaklumkan pada Mac 2021 untuk membuka siasatan atas situasi Palestin dan dakwaan jenayah dilakukan oleh pihak Israel sejak 13 Jun 2014 tanpa ada tempoh tamat.

“Justeru, situasi Palestin sudah pun dalam proses siasatan ICC. Malaysia akan sentiasa menyeru dan bekerjasama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara-negara sepemikiran agar PBB dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ke ICC malah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa,” katanya lagi.

Menurutnya, PBB telah menerima resolusi 74/247 yang meminta agar ICJ memberi pendapat penasihat berhubung isu-isu berkaitan konflik itu.

“Pada 30 Disember 2022 yang lalu PBB telah menerima resolusi 74/247 yang meminta agar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memberi pendapat penasihat berhubung isu-isu berkaitan Palestin.

“Lanjutan itu, Malaysia telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat penasihat berhubung isu Palestin yang telah diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai yang lalu.

“Kenyataan bertulis berkenaan memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri oleh Israel. Selain daripada penyertaan dalam mengemukakan kenyataan bertulis, Malaysia juga bercadang untuk menyertai sesi lisan yang dijangka berlangsung pada 19 Februari 2024,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, penyertaan Malaysia dan beberapa negara sepemikiran ini melambangkan komitmen jitu negara dalam membantu mencari penyelesaian konflik di Palestin.

“Penyertaan Malaysia dan beberapa negara lain sepemikiran dalam proses untuk mendapatkan pendapat penasihat di ICJ berhubung isu Palestin melambangkan komitmen jitu dan berterus negara dalam membantu mencari penyelesaian konkrit terhadap isu dan konflik di Palestin,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.