Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Perlukan Perhatian Serius Kerajaan – Ir Hasni

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir Hasni Mohammad membangkitkan beberapa persoalan berkaitan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Berucap ketika membahaskan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini, beliau memberi penekanan kepada beberapa aspek antara lain peruntukan besar yang harus diberikan kepada pelan berkenaan serta inisiatif yang spesifik berkaitan  program dilaksanakan.

“Peruntukan besar perlu diberikan kepada pelaksanaan NETR. Pendanaan NETR ini yang memakan jumlah RM1.3 trilion menjangkaui durasi sekitar 20 tahun iaitu sehingga sehingga 2050 amat memerlukan tumpuan yang serius daripada kerajaan. Peruntukan yang  besar juga perlu diberikan untuk menjayakan ‘roadmap’ tersebut kerana Belanjawan 2024 telah pun memperuntukkan RM2 bilion melalui dana mudah cara peralihan tenaga negara.

“Persoalan ini penting dan perlu diberikan perhatian. Contohnya, pertama, untuk tahun 2023 hingga 2029 sahaja, kerajaan memerlukan RM240 bilion untuk mendanai NETR dan separuh daripadanya iaitu RM120 bilion adalah mencakupi projek yang ‘marginally 1 MIDF Budget 2024: Supporting NIMP2030, NETR and 12MP MTR bankable or yielding below-market returns’. Jadi siapa dan bagaimana untuk biayai projek tersebut?,” katanya.

Kata beliau lagi bidang pelaburan seperti pembangunan sumber penjanaan, integrasi penstoran tenaga belakang grid dan integrasi teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon memerlukan sumber pelaburan utama dari sektor swasta.

Justeru soalnya apakah kaedah kerajaan untuk memastikan projek di bawah bidang tersebut dapat dibiayai secara berterusan dan apakah inisiatif dan insentif khusus yang perlu ditawarkan kepada sektor swasta, ‘venture capitalist’ dan ‘capital markets’ untuk turut kekal berminat melabur dalam NETR?

“Kesimpulannya, saya menggesa pendanaan NETR perlu dengan spesifik diterjemahkan dalam bentuk inisiatif dan insentif dan perlu diumumkan melalui belanjawan tahunan. Oleh itu, Belanjawan 2024 seharusnya melihat keperluan untuk dengan tuntas untuk menyediakan struktur pendanaan termasuklah insentif dan inisiatif khusus kepada pelabur asing dan instrumen pendanaan yang lebih khusus dan inovatif bagi membiayai NETR.

“Dengan izin, ‘a roadmap is a roadmap, but without specific initiative and incentive announced in an annual budget, it still gives a lack of clarity to the public and private investors’. Pelan ini amatlah baik. Ia akan menjadi kerugian jika kita hanya bergantung sepenuhnya kepada ‘the mercy of the market forces’ tanpa usaha berterusan yang serius dari kerajaan bagi mencari cara pendanaan yang lebih inovatif,” ujarnya. – UMNO Online

 

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.