Usah Politikkan Isu Hutang Negara Untuk Raih Sokongan, Cadang Lakukan ‘Politic Reconciliation On Economy’ – Mohd Shahar

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu hutang negara demi meraih sokongan dan mencadangkan agar ‘politic reconciliation on economy’ diadakan.

Jelasnya, kemampanan pengurusan hutang negara perlu ditambah baik bagi memastikan aliran hutang diterbitkan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Kemampanan pengurusan hutang negara adalah perkara yang perlu ditambah baik bagi memastikan aliran hutang diterbitkan seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan ia mampu meningkatkan daya cipta asas eksplorasi ekonomi baharu kalis kejutan.

“Jumlah hutang negara 2020 sebanyak 60.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Setakat Ogos 2023 ia telah mencatat 62 peratus kepada KDNK. Perbezaan yang amat ketara kalau kita bandingkan diantara tahun 2018-2022 sepanjang empat tahun adalah peningkatan jumlah hutang sebanyak RM383.2 bilion iaitu 21.5 peratus daripada KDNK.

“Caj servis hutang juga meningkat dan kalau kita lihat belanjawan 2023 semasa dibentangkan, akan diterbitkan sebanyak RM71 bilion. Setakat lapan bulan kita telah terbitkan hutang sebanyak RM68 bilion dan kita ada lagi lebih kurang ruang RM3 bilion. Adakah ruang pinjaman ini mencukupi dan bagi saya ia tidak mencukupi kerana jangkaan awal bajet untuk subsidi RM63 bilion tetapi Perdana Menteri umumkan ia akan mencecah RM81 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Menurutnya, semua ahli parlimen tidak mengira pihak kerajaan mahupun pembangkang mestilah berganding bahu untuk bersama-sama memulihkan semula kedudukan ekonomi negara.

“Oleh yang demikian, saya kira isu hutang negara usahlah dijadikan hal politik untuk meraih sokongan. Semua parti dalam dewan ini telah mempunyai pengalaman menjadi kerajaan. Kita tahu apa sebenarnya yang berlaku dan apa tindakan kita telah laksanakan semasa menjadi kerajaan untuk mengatasi segala ketirisan, krisis serta ketidaktentuan ekonomi global pada ketika itu.

“Kaedah tuding-menuding bukanlah jalan keluar tetapi ia mendorong negara kita ke arah permasalahan tanpa penghujung. Jadi, saya cadangkan agar kita semua lakukan ‘politic reconciliation on economy’.

“Saya mohon agar pihak Kementerian Kewangan untuk mengadakan segera perbincangan dengan semua parti agar kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama-sama memulihkan ekonomi kita kerana kebersamaan kita adalah teras kejayaan pemulihan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan pihak kementerian mengenai cara untuk memulihkan semula pertumbuhan ekonomi dan terbitan hutang negara.

“Persoalan saya kepada pihak kementerian, bagaimana ekonomi kita mahu dipulihkan dan menggerakkan pertumbuhan KDNK dengan lebih baik? Dalam masa yang sama IMF dan World Bank telah mengunjurkan ekonomi global bertumbuh pada kadar tiga peratus pada tahun 2023 dan tahun hadapan pada kadar 2.9 ke tiga peratus.

“Empat persoalan saya kepada pihak kerajaan. Pertama, apakah cara yang bertepatan untuk kita menerbitkan hutang? Kedua, pada waktu bilakah bersesuaian untuk kita lakukan terbitan hutang?

“Ketiga, adakah kos yang ditanggung bersesuaian dengan kadar lonjakan ekonomi akan datang? Keempat, adakah terbitan hutang ini beri impak positif atau negatif dari sudut peratusan KDNK?” soalnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.