Sektor Agama Terus Dapat Tumpuan Dalam Bajet Setiap Tahun, Kali Ini Terus Bertambah

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Bajet 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu mencakupi pelbagai aspek termasuklah dalam sektor agama yang sekaligus memperlihatkan sinar Islam terus berkembang di negara ini.

Anggota Tertinggi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya berkata rakyat khususnya umat Islam harus bersyukur kerana saban tahun dalam setiap pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri, sektor atau cabang agama terus mendapat tumpuan.

“Saya bersyukur… untuk sektor agama tidak pernah tertinggal dalam pembentangan Bajet dan kali ini dilihat ada peningkatan… peruntukan sebanyak RM1.9 bilion dan tentunya dengan perkembangan institusi agama.

“Malah kita dapat lihat pemerkasaan Sekolah Agama Rakyat, kemudiannya institusi tahfiz dan juga insentif kepada guru-guru takmir serta yang lain menggambarkan kerajaan hari ini serius serta komited dalam memperkasakan sektor berkenaan,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang menarik lagi ialah keprihatinan kerajaan berkaitan wakaf.

“Apa yang menarik perhatian saya juga dalam bajet kali ini turut dibahaskan soal waqaf. Sebanyak RM500 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat untuk pembangunan tanah-tanah waqaf dan ini antara perkara-perkara yang perlu diberikan perhatian ke depan.  Waqaf adalah sebenarnya satu instrumen pembangunan ekonomi Islam dan saya harapkan bukan soal bajet itu semata-mata tetapi saya harapkan ada pelan jangka masa panjang yang lebih daripada itu.

“Kita lihat bagaimana pembangunan waqaf di Timur Tengah sekitar Masjidil Haram contohnya. Pelbagai hotel bertaraf lima bintang hingga enam bintang di situ. Mereka menyewa di tapak itu dalam tempoh jangka masa panjang dan hasil sewaan itu masuk dalam tabung waqaf dan tabung waqaf berkenaan digunakan untuk membangunkan masjid dan ini adalah antara rantaian ekonomi yang membangunkan sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hiwar Dini anjuran Majlis Ulama UMNO Malaysia. Ahli panel yang lain ialah Setiausaha Agung Gabungan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan), Ust Mohd Edrus Ab Rahman dan dihoskan Datuk Othman Desa.

Menjelaskan lebih lanjut Fathul Bari seterusnya menambah perkara lain yang turut menarik perhatian pada pembentangan Bajet baru-baru ini ialah tahfiz bagi program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan Tahfiz KEMAS.

“Saya juga tertarik dengan Tahfiz TVET dan Tahfiz KEMAS… cuma modelnya bagaimana kita lihat nanti dan tentunya ianya adalah gabungan ilmu agama dan dunia. Manfaatkan di dunia untuk kejayaan di akhirat. Jadi dengan pemerkasaan TVET di bawah TPM (Timbalan Perdana Menteri), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan saya difahamkan beliau dalam rangka pemerkasaan agenda tersebut dan begitu serius dengan memasukkan agenda tahfiz dalam agenda TVET.

“Ini gandingan yang sangat baik. Begitu juga dengan Tahfiz KEMAS. Saya cadangkan anak-anak KEMAS paling tidak ‘Juz Amma’… itu pada saya dah dikira ‘excellent’. Setidak-tidaknya bawah 12 tahun mereka dah ada ‘basic’ hafalan. Harap kerajaan teliti dalam soal ini dan akan beri tumpuan sepenuhnya.

“Seterusnya saya juga tertarik soal Halal. Ini  kerana kadangkala untuk menunggu sijil lambat…51 hari untuk menunggu dan hari ini dipendekkan kepada 30 hari. Ada KPI (Petunjuk Prestasi Utama) dan sebulan tempoh masa… manakala HDC (Halal Development Corporation) diberikan mandat bersama JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) untuk melihat potensi untuk kembangkan ekonomi halal. Tahun lepas menghasilkan sebanyak RM3 bilion dan ini jumlah yang cukup besar dan kita perlu melihat pemerkasaan lagi ke depan,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau turut mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan pelajar-pelajar yang berada di luar negara sebagai salah satu instrumen pengeluaran sijil-sijil halal.

“Cuma saya nak cadangkan juga di sini manfaatkan pelajar di luar negara dengan memberikan TOT (‘training of trainers’) kepada mereka oleh JAKIM dan jadikan mereka sebagai inspektor kita yang akan buat pemeriksaan.

“Jadi pelajar dapat kerja… untuk turun dengan SOP (prosedur operasi standard) yang dibekalkan oleh JAKIM. Langkah ini kerajaan akan dapat kurangkan kos ‘travelling’ dan pelajar dapat kerja serta mendapat ilmu untuk keluarkan sijil halal,” tambahnya.

Sementara itu Setiausaha Agung Gabungan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan), Ust Mohd Edrus Ab Rahman melihat institusi tahfiz di negara ini berkembang dengan begitu baik yang sekaligus memperlihatkan keprihatinan serta tumpuan kerajaan ke arah berkenaan.

“Institusi tahfiz telah bergerak daripada dahulu lagi dan hari ini makin berkembang dan tahfiz pertama swasta di Jeram Selangor yang ditubuhkan pada tahun 1981. Keduanya di Kubang Bujuk, Terengganu iaitu Darul Quran pada tahun 1982. Dah lama institusi ini bermula. Makin berkembang dan sehingga ke hari ini Alhamdulillah dalam rekod kita lebih kurang 1,400 lebih yang berdaftar dan tidak berdaftar.

“Alhamdulillah… dulu mantan PM (Perdana Menteri), Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 2016 telah mengumumkan dasar pendidikan tahfiz negara dan kemudiannya berjalan dengan baik sehinggalah ke hari ini. Kerajaan hari ini pula pertama kalinya umum bajet RM17 juta untuk TVET tahfiz dan ini adalah pertama kali.

“Langkah ini supaya pelajar dapat menghafaz al-Quran di samping belajar ilmu yang lain. Begitu juga hasrat kerajaan dalam soal tahfiz cilik menerusi KEMAS supaya asas al-Quran dapat dipupuk daripada awal. Roh al-Quran di dalam dada akan memberikan akhlak yang baik, insya-Allah,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.