Peruntukan Besar Untuk Pembangunan Syiar Islam, Bukti Kedudukan Islam Tidak Terancam

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Peruntukan yang besar untuk pembangunan syiar Islam yang dibentangkan melalui Belanjawan 2024, Jumaat lalu membuktikan bahawa kedudukan Islam tidak terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, bajet ini juga merupakan satu manifestasi dan pengaruh daripada UMNO yang berada dalam pentadbiran negara.

“Saya nampak bajet pada kali ini adalah satu manifestasi pengaruh daripada UMNO itu sendiri. Saya melihat secara harfiahnya, bajet ini lebih menjurus kepada membantu masyarakat di luar bandar dengan perbelanjaan yang agak tinggi kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Tak silap saya sebanyak RM12.6 bilion termasuk memberikan peruntukan tinggi untuk Sabah serta Sarawak.

“Kita tahu hampir 70 peratus kawasan di kedua-dua negeri ini masih lagi bertaraf luar bandar dan memerlukan perhatian daripada pihak kerajaan. Ada lagi satu perkara yang saya ingin menempelak pihak lawan, apabila kita berada dalam kerajaan, angka-angka untuk memartabatkan institusi dan pendidikan Islam begitu tinggi.

“Maksudnya, kita apabila berada dalam kerajaan, UMNO mempertahankan dua perkara begitu besar iaitu pembangunan untuk orang-orang di luar bandar yang meliputi 70 hingga 80 peratus Melayu dan juga mempertahankan Islam,” katanya menerusi sesi wawancara di Facebook UMNO Online, pada Rabu.

Jelasnya, situasi ini berbeza dengan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) 1.0 apabila tiada sebarang bantahan daripada Dap mengenai peruntukan untuk pembangunan Melayu-Islam pada sesi pembentangan bajet kali ini.

“Kita tengok bajet pada kali ini, tiada satu pun bantahan yang kita dengar daripada Dap. Bezanya pentadbiran PH 1.0, ada PPBM. Mungkin saya boleh kata mereka tidak mempertahankan (Melayu-Islam) walaupun berada dalam kerajaan pada ketika itu.

“Apabila bajet dipotong mengenai Islam dan Melayu, mereka (PPBM) berdiam diri… tetapi kali ini, UMNO yang berada dalam kerajaan dan saya pasti Presiden UMNO akan memainkan peranan penting dalam perbincangan untuk bajet serta memastikan apa telah dimeterai ketika ingin menubuhkan Kerajaan Perpaduan dipertahankan.

“Saya nampak bajet ini merupakan sebuah manifestasi daripada Perdana Menteri, memperlihatkan sebagai satu perkara yang secara dasar dan kolektif. Optiknya, menampakkan yang memang beliau membantu orang luar bandar dengan peruntukan besar dan tinggi dalam pembangunan syiar Islam. Ini yang sebenarnya kita lihat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Bajet 2024 ini menerima pengaruh besar daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) meskipun ianya bukanlah dilakukan secara bersendirian.

“Apa yang mengejutkan dan menggembirakan saya, tiada langsung bantahan daripada Dap. Ini yang perlu kita jelaskan kepada akar umbi UMNO, mengapa kita memilih Kerajaan Perpaduan. Sebenarnya lebih bagus sekiranya kita berada dalam kerajaan berbanding menjadi pembangkang.

“Kita boleh mengawal, mengatur dan mengolah. Meskipun bajet ini bukanlah keseluruhannya datang daripada kerajaan Barisan Nasional tetapi pengaruh yang besar daripada UMNO kepada kerajaan terbukti dalam bajet kali ini,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan bahawa sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani.

Ia termasuk pembinaan dua institusi pendidikan Islam iaitu Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Bukit Jalil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol di Negeri Sembilan dengan kos RM220 juta.

Sejumlah RM150 juta turut disediakan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana institusi pendidikan Islam antaranya sekolah agama rakyat, institusi pondok berdaftar dan sekolah tahfiz. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.