Sistem AP Menyokong Perkembangan Automotif Negara – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bahawa terdapat tujuan bagi lesen import atau Approve Permit (AP) dikenakan pada kenderaan bermotor import termasuklah kenderaan elektrik (EV).

Menurutnya, ini adalah untuk memantau dan menyokong perkembangan automotif tempatan supaya selaras dengan hala tuju Dasar Automotif Nasional 2020 bagi menjadikan Malaysia sebagai hub automotif serantau bagi pengeluaran cekap tenaga.

Jelasnya, secara umumnya dasar mengenakan AP import masih relevan dan perlu dikekalkan berdasarkan justifikasi tambahan.

“AP merupakan satu mekanisme kumpulan data bagi maklumat tujuan pengawalan seliaan penambahbaikan ke atas dasar dan garis panduan semasa berkaitan pembangunan sektor automotif di Malaysia.

“Kenderaan import sepenuhnya (CBU) baharu atau terpakai yang diimport melalui mekanisme AP sedia ada tetapi tertakluk pada syarat-syarat yang dikenakan oleh MITI seperti syarat ekuiti bumiputera, modal berbayar minimum dan lain-lain.

“Pemansuhan AP boleh mendorong kepada import pelambakan CBU yang tidak mematuhi piawaian teknikal dan membahayakan kepada pengguna kenderaan di jalan raya. Mekanisme AP adalah membangunkan industri automotif secara inklusif yang merangkumi agenda meningkatkan usahawan bumiputera dalam rangkaian industri automotif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng (Dap- Kepong) berhubung langkah kerajaan untuk tidak memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai  duti eksais dan import terhadap semua jenis EV termasuk kenderaan komersial dan bermotor.

Tambah Zafrul lagi isu ini pernah dibangkitkan sebelum ini dan berdasarkan pada nombor pengecasan yang ada di negara ini.

“Memang sasaran kita adalah agresif 10 ribu pengecasan EV sehingga tahun 2025 dan penggunaan awam ini mempunyai tahap komitmen di semua peringkat kementerian, agensi dan juga pemain industri. Semua pemegang taruh terlibat dalam proses ekosistem EV ini.

“MITI memainkan peranan sebagai peneraju dan penyelaras pasukan penugas EV ‘task force’ dan jawatankuasa pemandu kebangsaan. Baru-baru ini proses telah ditambahbaik melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu isu-isu tempoh proses dan keselamatan telah diselesaikan,” katanya lagi.

Tegas beliau, EV yang dulunya 33 hari sekarang ini 14 hingga tujuh hari membantu pengecasan dan perlu menyelaraskan dengan kementerian-kementerian dan agensi yang berkaitan kerana dari segi undang-undang atau garis panduan masih lagi lagi terikat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.