Apakah Benar Islam Dan Melayu Terancam Di Zaman Kerajaan Perpaduan?

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Apakah benar agenda Islam dan Melayu terancam dan terabai di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini sebagaimana fitnah Pas dan PPBM? Soal Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Jelasnya, pertambahan peruntukan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pembangunan hal ehwal Islam dari RM1.5 bilion tahun 2023 kepada RM1.9 bilion dalam Belanjawan 2024 jelas membuktikan bahawa dakwaan Islam semakin terancam dan diabaikan oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia gabungan 18 parti politik hanya kerana ada DAP di dalamnya adalah jelas fitnah.

“Malah inisiatif Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) melalui Pelan Tindakan Dasar Tahfiz Negara yang pernah dilancarkan ketika BN (Barisan Nasional) memerintah disambut baik oleh PMX (Perdana Menteri Kesepuluh-Datuk Seri Anwar Ibrahim).

“…dengan memperuntukkan RM187 juta termasuklah RM150 juta untuk program penyelenggaraan dan naiktaraf prasarana sekolah yang uzur, RM17 juta untuk program Tahfiz TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan RM20 juta program Pra Tahfiz Kemas yang menyasarkan 100,000 hufaz cilik menjelang tahun 2026.

“Ini semua idea cetusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bertanggungjawab dalam mempengerusikan Majlis TVET Negara dan Dasar Tahfiz Negara,” katanya yang juga Pengerusi MARA dalam satu hantaran di Facebook.

Malah tambah Dr Asyraf lagi, agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan dengan tambahan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah kepada RM11.554 bilion dan MARA RM3.99 bilion.

“…yang diamanahkan untuk memperhebatkan pelbagai program pembiayaan perniagaan, keusahawanan, pendidikan termasuk pemerkasaan program TVET untuk anak Melayu-Bumiputera dan pembiayaan pengajian ke luar negara yang kini mencecah 5,178 di pelbagai negara luar,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.