256,901 Graduan TVET Dilahirkan Di Bawah KPT Sejak 2018 Sehingga 2023  – Khaled

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata seramai 256,901 graduan bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) telah dilahirkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tempoh 2018 sehingga 2023.

Menurut beliau berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2020, hanya 42 peratus pelajar program TVET di negara ini dikendalikan dan berada di bawah KPT dan dari sudut bilangan program diploma terdapat sebanyak 299 program mewakili 37 peratus daripada keseluruhan program diploma TVET yang ditawarkan oleh 12 kementerian/agensi di seluruh negara.

“Graduan Universiti Awam (UA) atau MTUN (Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia) adalah seramai 71,825 orang, manakala graduan politeknik dan Kolej Komuniti adalah seramai 185,076 orang. Jumlah ini merangkumi 139,579 orang graduan politeknik dan 45,497 orang graduan Kolej Komuniti.

“Sebelum menjawab mengenai peratusan kebolehpasaran graduan, saya ingin terlebih dahulu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan kebolehpasaran graduan. Secara umumnya, ia merujuk kepada empat kelompok graduan.

“Pertama, mereka yang telah bekerja termasuklah mereka yang memilih sebagai usahawan; kedua, mereka yang sedang melanjutkan pengajian; ketiga, mereka yang sedang mengikuti kursus atau latihan peningkatan kemahiran atau sijil profesional, dan keempat, mereka yang sedang menunggu penempatan pekerjaan semasa Kajian Pengesanan Graduan dijalankan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta menteri menyatakan jumlah graduan bidang TVET dari tahun 2018 sehingga 2023 mengikut bidang latihan yang telah mereka lalui dan berapakah bilangan graduan ini sudah memperoleh pekerjaan dalam bidang latihan tersebut.

Khaled seterusnya menambah dengan menggunakan definisi tersebut, Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dilakukan oleh KPT, yang merekodkan kadar respons melebihi 90 peratus, menunjukkan purata kebolehpasaran graduan TVET dari UA/ MTUN pada tahun 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 91.8 peratus.

“Daripada jumlah ini, 69.4 peratus graduan telah bekerja. Dan daripada jumlah responden yang telah bekerja ini, sebanyak 60.9 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di UA/MTUN. Manakala baki 14.9 peratus adalah graduan yang sedang melanjutkan pengajian, 3.1 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 4.3 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan.

“Purata kebolehpasaran graduan Politeknik pada tahun 2018 sehingga 2022 pula adalah sebanyak 94.8 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 76.2 peratus.

“Daripada jumlah responden yang telah bekerja ini, sebanyak 50 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di Politeknik. Manakala baki 19.1 peratus adalah sedang melanjutkan pengajian, 0.4 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 1.5 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” tambahnya.

Seterusnya, tambah beliau lagi bagi kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti pada tahun 2018 sehingga 2022 pula menunjukkan purata sebanyak 96.2 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 74.8 peratus.

“Daripada jumlah responden yang bekerja ini, sebanyak 53.4 peratus graduan telah bekerja dalam bidang yang dipelajari di Kolej Komuniti. Manakala baki 22.3 peratus adalah graduan yang memilih untuk melanjutkan pengajian, 0.2 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 0.4 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.