Jawatankuasa Pantau Penyaluran Peruntukan Belanjawan 2024 Akan Ditubuhkan

PUTRAJAYA, 15 Okt – Jawatankuasa Pemantauan Bajet akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menyemak dan memastikan peruntukan Belanjawan 2024 disalurkan sebaik mungkin kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan diketuai Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dianggotai Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican serta beliau sendiri.

Bercakap kepada pemberita selepas Larian Kewangan 2023 anjuran Kelab Perbendaharaan Putrajaya di sini hari ini, Ahmad berkata penubuhan jawatankuasa itu juga seiring dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu lepas.

“Antara tugas jawatankuasa ini ialah melaporkan pencapaian Belanjawan 2024 bagi tempoh Januari hingga Jun sebelum kita melaporkannya di Dewan Rakyat pada awal September tahun depan.

“Kebertanggungjawapan semua agensi dan kementerian untuk memastikan bajet dilaksanakan dengan cekap adalah penting dan saya harap semua kementerian ada timeline projek yang ingin mereka laksanakan sebaiknya,” katanya.

Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas berkata belanjawan MADANI kedua itu melibatkan peruntukan berjumlah RM393.8 bilion, iaitu belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan.

Terdahulu, Ahmad dan Sim menyertai acara larian berkenaan yang diadakan sempena Hari Sukan Negara 2023 bersama lebih 2,300 peserta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.