Kepentingan, Masalah Yang Dihadapi Petani Sawah Perlu Diberikan Perhatian – Reezal

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Masalah yang dihadapi oleh petani dan penanam sawah padi juga harus ditangani dengan sebaiknya di sebalik isu kenaikan harga beras dan kekurangan beras tempatan di pasaran, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Baru-baru ini, di Wisma UMNO Kepala Batas, beliau mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama pemimpin-pemimpin peladang di dalam kawasannya bagi membincangkan perkara yang berkaitan.

“Pertemuan ini bertujuan untuk berbincang mengenai masalah-masalah yang dihadapi pesawah. Saya mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi pesawah masa kini.

“Kos yang tinggi mengusahakan bendang, hasil tuaian yang rendah, serangan penyakit padi, kualiti benih padi, harga padi, pengurusan pengairan dan pelbagai perkara lain yang dibangkitkan dan dibincangkan,” kata Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu dalam satu hantaran di platform media sosialnya.

Catitnya lagi, sebelum itu beliau telah mengadakan perbincangan bersama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang Mohd Muhaimin Ibrahim dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pulau Pinang Puan Noor Mazirah Teh tentang perkara yang berkaitan.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Penaga Datuk Haji Ismail Umar, Pengerusi PPK Lahar Bubu Datuk Haji Md Zabidi Haji Ariffin, Naib Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Nordin Wahab dan ketua-ketua Unit Peladang di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam yang telah hadir.

“Insya-Allah, saya akan bawa suara pesawah, masalah dan cadangan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang nanti,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.