Kerajaan Perlu Fokus Kepada Pembangunan Industri Beras Negara – Johari

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan kerajaan untuk fokus kepada pembangunan industri beras di negara ini.

Katanya, tumpuan tersebut bakal memberikan keuntungan kepada industri ini dan berupaya menjadikan negara lebih berdikari dalam pengeluaran beras.

Menurut beliau, pendekatan tersebut boleh dilakukan dengan menggalakkan pesawah untuk melakukan penanaman padi.

“Apa yang paling penting, kita nak galakkan pesawah dan dia boleh mendapat keuntungan. Apabila syarikat besar tengok industri ini boleh menguntungkan, mereka akan sama-sama terbabit secara langsung untuk membangunkan industri beras ini.

“Jika kita cerita ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, masalah bekalan beras ini akan terus berlanjutan dan keselamatan makanan bagi beras ini tidak akan boleh diatasi,” katanya.

Johari berkata demikian pada sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, hari ini mengenai isu kekurangan beras.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil contoh, Vietnam yang bertukar daripada pengimport beras kepada pengeksport beras ketiga terbesar di dunia selepas menemui keuntungan sektor penanaman padinya untuk petani dan industrinya.

“Sebagai contoh di Vietnam, pada awal 1980 mereka mengimport beras seperti kita, tapi kini sudah jadi pengeksport ketiga terbesar dunia kerana ada unsur keuntungan kepada industri dan pesawah.

“Saya mahu Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan melihat bagaimana kita boleh membangunkan industri beras ini kerana ini adalah satu-satunya sektor yang kita ada peluang untuk berdikari.

“Jika kita beri betul-betul tumpuan dan memastikan bekalan dan permintaan serta keuntungan atau jualan boleh mengatasi kos, saya percaya jika kita boleh buat dalam soal kelapa sawit, mengapa tidak boleh buat dalam soal beras,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.