Azalina Tegaskan Kerajaan Kekal Komited Laksana Reformasi Institusi, Pengasingan Peranan Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 9 Okt – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa kerajaan pada hari ini kekal komited dalam usaha reformasi institusi yang melibatkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Katanya, sejurus dilantik sebagai anggota pentadbiran, beliau telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan dengan usaha pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang merupakan agenda reformasi pertama.

“Pada 16 Ogos 2023, Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan telah pun bersetuju supaya satu Kajian Empirikal yang terperinci dan holistik dibuat berkenaan dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.

“Kajian ini akan memastikan pengasingan ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang pengaruh politik serta urusan undang-undang di bawah Peguam Negara dan Pendakwa Raya dilaksanakan secara telus selaras dengan agenda Malaysia Madani.

“Sebagai langkah ke hadapan, pada 12 September 2023, saya telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan usaha Reformasi Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang bertujuan, antara lain untuk mendapatkan input dan membincangkan terma rujukan serta cabaran-cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan usaha reformasi tersebut. Mesyuarat ini dihadiri oleh ahli-ahli Yang Berhormat termasuk daripada Blok Pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, hari ini.

Jelas Azalina, kerajaan telah bersetuju agar dua pasukan ditubuhkan bagi terus mengerakkan agenda ini secara berfasa mengambil kira kompleksiti dan cabaran terlibat dalam perkara ini.

“Sebagai Fasa Pertama, Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian berdasarkan keterangan (evidence-based research) ke atas beberapa buah negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai dalam konteks Malaysia dengan mengambil kira shawcross principle dan doctrine of independent aloofness.

“Negara yang sedang dikaji mengamalkan sistem perundangan berasaskan demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem adversarial dan mempunyai pelbagai struktur pentadbiran iaitu Persekutuan, Negeri, Kesatuan dan sebagainya.

“Sebagai Fasa Kedua, Pasukan Petugas Khas Teknikal bagi akan meneliti secara komprehensif mengenai implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan dan menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Implikasi kewangan yang terlibat bagi melaksanakan inisiatif ini adalah tertakluk kepada model yang akan dikenalpasti berdasarkan evidence-based research yang saya nyatakan sebentar tadi.”

Kata Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, pelaksanaan inisiatif ini juga akan memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan akan melibatkan pindaan substantif terhadap fungsi-fungsi pentadbiran keadilan jenayah di Negara ini kepada sekurang-kurangnya 19 undang-undang lain yang berkaitan termasuk Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).

“Seterusnya sebagai Fasa Ketiga, sesi libat urus bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Sabah & Sarawak serta pihak pemegang taruh lain termasuk agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain Majlis Peguam Malaysia, Sabah Law Society, Advocates Association of Sarawak, Ahli-ahli akademik, pakar rujuk Perlembagaan Persekutuan akan diadakan oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal dalam masa terdekat ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.