Perpaduan Menang PRK, Terima Kasih Rakyat – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias melihat kemenangan calon yang mewakili kerjasama politik Perpaduan di siri Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau walaupun pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) menggerakkan seluruh kekuatan jentera dan ‘aset pilihan raya’ yang mereka ada, namun keputusan PRK memperlihatkan bahawa majoriti pengundi tetap mahu mempercayai Kerajaan Perpaduan.

“Sebagai contoh selepas PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram di Johor, yang terbaru kita menyaksikan gabungan kerjasama Perpaduan telah menang bergaya di PRK DUN Pelangai di Pahang pula.

“Jika diteliti analisa yang dilakukan pelbagai pihak semasa sesi kempen di PRK Pelangai diadakan, dapatan mengakui bahawa calon BN dan PN memiliki potensi yang cerah untuk menang.

“Bagaimanapun, keputusan telah diterima. Majoriti pengundi di DUN Pelangai tetap mahu menolak PN dan calon Bebas, sekali gus mempertahankan kesinambungan legasi khidmat parti BN di sana,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Jelebu, ini memberi mesej kepada kita bahawa Kerajaan Perpaduan telah dan sedang melakukan tugas membela rakyat dengan sehabis baik dan ia sedang dirasai oleh masyarakat di negara ini.

“Justeru, saya menyeru kepada semua rakyat terutama di Negeri Sembilan agar terus memberi sepenuh sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan bagi memastikan usaha-usaha mengangkat martabat dan harakat rakyat dapat dilaksanakan dengan sempurna,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.