Kemenangan BN Bukti Rakyat Tolak Kempen Fitnah, Maki Hamun Tidak Laku – Fadzli Kamal
BENTONG, 8 Okt – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal menegaskan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini, adalah isyarat jelas bahawa rakyat tidak suka kempen caci maki, fitnah dan sebagainya.
Menurutnya, kemenangan ini jelas terbukti gelombang hijau dapat disekat dan pengundi Pelangai tidak terpengaruh kempen yang dimainkan pembangkang.
“Ini kemenangan demi maruah negeri Pahang yang berjaya menyekat gelombang hijau atau ‘green wave’. Mereka canang-canang selama ini dan ia juga membuktikan bahawa rakyat tidak terpengaruh dengan kempen agresif yang dilaksanakan oleh PN khususnya dari sudut menghasut, memfitnah, memaki hamun, mengeluarkan kata-kata kesat yang semata-mata hendak meraih undi.
“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pengundi di Pelangai yang begitu matang dan bijak menentukan siapa yang seharusnya mewakili mereka di DUN Pelangai,” katanya kepada UMNO Online di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, malam tadi.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengundi Pelangai kerana memberi mandat pada calon BN Datuk Amizar Abu Adam.
“Terima kasih kepada pengundi Pelangai atas sokongan yang diberikan kepada calon BN Datuk Amizar Abu Adam dan sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat dan kawasan-kawasan tertentu yang kena perbaiki prestasi khususnya di Felda.
“Beliau berusaha memahami dan mendampingi rakyat Felda tentang keperluan sebenar di kawasan ini dan keseluruhannya. Saya berpuas hati kepada seluruh jentera BN yang bertungkus lumus membantu selama lebih dua minggu di Pelangai,” ujarnya.
Terdahulu, BN mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai apabila calonnya, Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi.
Amizar memperoleh 7324, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, 4375 dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli 47 sementara undi rosak 120. – UMNO Online