Terima Kasih Pengundi DUN Pelangai Sekali Lagi Pilih BN – Wan Rosdy

BENTONG, 7 Okt – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini.

Menurut beliau pengundi telah membuat pilihan yang bijak dengan memilih Datuk Amizar Abu Adam sebagai wakil rakyat mereka.

“Terima kasih kepada pengundi PRK DUN Pelangai kerana sekali lagi membuat pilihan memilih calon BN, Datuk Amizar Abu Adam untuk mewakili mereka.

“Terima kasih juga kepada Datuk Seri Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi UMNO negeri, barisan MKT (Majlis Kerja Tertinggi), Ketua-ketua (UMNO) bahagian Pahang serta seluruh jentera parti yang telah membantu kemenangan BN.

“Sekali lagi tahniah kepada semua dan pengundi telah membuat pilihan yang bijak dan saya percaya Datuk Amizar akan dapat meneruskan tugas beliau sebagai wakil rakyat di Pelangai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman keputusan PRK DUN Pelangai, di Dewan Orang Ramai Kemasul, di sini, hari ini.

Wan Rosdy seterusnya menambah pengundi yang sekali lagi memberikan kepercayaan mereka kepada BN pada PRK ini menunjukkan sentuhan wakil rakyat sebelum ini dirasai oleh masyarakat DUN Pelangai.

“Pengundi di Pelangai telah merasai sentuhan wakil rakyat sebelum ini yang berjenamakan UMNO/BN dan saya percaya mereka telah menyumbang banyak juga pembangunan di Pelangai serta jasa mereka dan mereka (pengundi) merasa sentuhan itulah yang menyebabkan mereka memilih BN hari ini supaya apa yang dilakukan wakil rakyat sebelum ini dapat diteruskan,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau tutut percaya isu-isu 3R (agama, bangsa dan raja) yang dibawa tidak mendapat tempat di Pelangai.

“Saya percaya bahawa isu 3R tidak mendapat tempat di hati pengundi di Pelangai dan Pahang dan saya percaya kita di Pahang ini ingin melihat kesejahteraan kepada rakyat dan setiap masa kerajaan negeri akan memikirkan bagaimana untuk kita membantu rakyat dan kita perkenalkan Bantuan Prihatin Pahang dan di Felda itu sendiri kita perkenalkan Skim Tanah Rakyat untuk membuat perumahan generasi kedua Felda dan usaha-usaha ini akan diteruskan.

“Dan kita banyak tawarkan apa yang kita boleh beri kepada rakyat di Pelangai berbanding jika kita memainkan dari segi persepsi, sentimen serta fitnah semasa berkempen. Jadi atas sebab itulah percaya pengundi di Pelangai telah menolak corak kempen mereka dan memilih BN,” tambahnya.

BN mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai apabila calonnya, Amizar menang pada PRK kawasan berkenaan dengan majoriti 2949 undi.

Amizar memperolehi  7,324 undi, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat (4,375) dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi) manakala undi rosak sebanyak 120.

Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Dewan Orang Ramai Kemasul. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit