PRK Pelangai: 16,456 Pemilih Berdaftar Mengundi Hari Ini


BENTONG, 7 Okt – Seramai 16,456 pemilih berdaftar layak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini bagi memilih wakil rakyat kerusi N36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

DUN terbabit diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 14 hari berkempen bermula dari 23 Sept lalu sebagai hari penamaan calon dan hari ini adalah pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan pemilih berdaftar.

Berdasarkan statistik dikongsikan SPR, pemilih bagi DUN Pelangai merangkumi 8,254 lelaki dan 8,202 wanita dengan pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun adalah seramai 3,728 orang.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta DUN Simpang Jeram.

Allahyarham Johari yang kali pertama bertanding pada PRU15 lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa
Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Allahyarham menewaskan Kasim Samat dari Perikatan Nasional PN) (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit