Saya Hargai Undi Anda Pilih Datuk Amizar – Wan Rosdy

BENTONG, 6 Okt – Hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menyaksikan kepimpinan parti melipatgandakan usaha merayu dan berkempen dalam usaha memastikan pengundi memilih parti masing-masing Sabtu ini.

Barisan Nasional (BN) yang meletakkan anak tempatan Datuk Amizar Abu Adam sebagai calonnya turut bertungkus-lumus berkempen terutama Pengerusi BN Pahang yang juga Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama seluruh jentera parti.

Petang Khamis, di Kampung Lembah Jaya, Wan Rosdy melakukan walkabout dan mengadakan ziarah kasih selain berjumpa jentera setempat dengan memberikan amanat serta kata-kata perangsang agar terus melipatgandakan lagi usaha supaya BN mencapai kemenangan Sabtu ini.

Ternyata gaya beliau yang bersahaja menyantuni masyarakat setempat selain kunjungan rumah ke rumah disambut dengan senyuman dan penuh kemesraan.

Sesi ramah mesra dan santai beliau bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada jentera parti malah insya-Allah memberi keyakinan kepada pengundi untuk membuat pilihan terbaik dengan memilih Amizar, calon BN untuk mewakili masyarakat DUN Pelangai.

“Kepada seluruh pengundi yang akan membuang undi pada Sabtu nanti, keluarlah beramai-ramai dan undilah calon nombor tiga Datuk Amizar Abu Adam.

“Saya amat menghargai undi dan kepercayaan yang diberikan,” kata Wan Rosdy sejurus selesai program di Lembah Jaya.

PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian penyandang Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit