PRK Pelangai: Amizar Pecut Gear Lima Terus Rayu Undi

BENTONG, 6 Okt – Pecutan akhir kempen calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam boleh dianggap memasuki ‘gear lima’.

Krew UMNO-Online yang turut bersama beliau berkempen pagi tadi menyaksikan pelbagai tempat dan rumah penduduk di sekitar Chemomoi disantuni beliau dalam usaha merayu undi agar penduduk memilih BN esok.

Pada sidang medianya, Amizar berkata hari terakhir kempen yang akan berakhit tepat jam 12 malam nanti digunakan sepenuhnya untuk meraih serta merayu undi penduduk setempat.

“Hari ini adalah hari terakhir kempen dan pecutan akhir sepertimana yang biasa kita lakukan seperti walkabout bertemu dengan pengundi termasuklah di Chemomoi pagi ini,” katanya.

Amizar seterusnya menambah Pelangai amat signifikan dan cukup dekat dengan beliau.

“Saya adalah antara pejuang Felda itu sendiri dan berkhidmat dengan NGO (badan bukan kerajaan) daripada Majlis Belia Felda Malaysia dan Kami Anak Felda (KAF).

“Hari ini pun saya sendiri pakai baju Kami Anak Felda…kerana apa…kami telah perjuangkan Felda sekian lama hak-hak peneroka, anak-anak peneroka dan cucu-cucu peneroka.

“Kalau diberikan mandat serta tanggungjawab kepada BN alangkah baiknya sealiran dengan kerajaan negeri dan persekutuan. Ini yang kita mahu supaya pembangunan negeri, pembangunan di kawasan DUN Pelangai ini dapat dijaga dengan baik dan dilaksanakan dengan lebih baik pada masa akan datang.” katanya.

Dalam pada itu belliau berharap perantauan yang akan pulang membuang undi esok agar membuat pilihan sebaiknya demi DUN Pelangai.

“Kepada perantauan yang akan balik ke kampung untuk mengundi jangan tertipu atau terpedaya dengan dakyah anasir fitnah sedangkan kerajaan negeri pahang stabil…amalkan prinsip prihatin kepada rakyat dan ini penting…PRK ini kita nak menggantikan tempat Allahyarham Datuk Seri Johari yang telah pergi meninggalkan kita.

“Jadi yang akan pulang ke kampung jangan dengar tipu dakyah…ini kampung kita,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.